SLIM RIVER – Majlis perkahwinan di Felda Besout 1 di sini hari menerima kejutan apabila dikunjungi calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Mohd Asri Hashim, 50, bapa perempuan kepada pasangan pengantin Nurul Haziqah dan Muhammad Amirul Aizar Mohd Zawavi berkata, kehadiran calon dan pengamal media ke majlis kenduri anak keduanya itu diibaratkan sebagai menambah seri dan kemeriahan kenduri yang pertama kali diadakan keluarganya.
“Kenduri ini sebenarnya sudah lama dirancang sejak tiga bulan lalu dan kebetulan tarikhnya jatuh pada kempen PRK ini, jadi apabila dimaklumkan calon (Amir Khusyairi) hendak datang, kami alu-alukan.
“Saya anggap ini rezeki pengantinlah, bukan senang nak dapat peluang begini,” katanya kepada pihak media.
Sebelum itu, pasangan muda itu yang masing-masing berusia 21 tahun itu selamat dinikahkan pagi tadi di Pejabat Agama Daerah Batang Padang di Tapah.
Bagaimanapun majlis kenduri masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan setiap jemputan hadir diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu, imbasan kod QR MySejahtera dan mengikut laluan keluar masuk yang disediakan.
Sementara itu, pengantin Nurul Haziqah berkata, pematuhan SOP dan suasana kempen PRK tidak menghalang pihaknya meneruskan majlis pernikahan dan kenduri hari ini.
“Bukan susah pun nak patuhi SOP, rakan dan saudara-mara banyak bantu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar hari ini, secara tidak langsung jemputan datang dapat bertemu dan berkenalan secara dekat dengan calon,” katanya.
Sementara itu, Amir Khusyairi yang juga merupakan Peguam Syarie sempat memberikan nasihat kepada pengantin dan melaungkan selawat nabi. – MalaysiaGazette