WASHINGTON – Bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat ditahan dan didakwa kerana mengintip untuk China melibatkan saudaranya yang juga pernah bekerja untuk CIA, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan, Alexander Yuk Ching Ma, 67, ditangkap pada hari Jumaat dengan tuduhan bersekongkol dengan saudaranya, juga bekas pegawai CIA, untuk menyampaikan maklumat rahsia kepada pegawai perisik China.
Sebagai orang Amerika, Ma mula bekerja untuk CIA pada tahun 1982.
Pendakwa raya berkata, Ma meninggalkan CIA pada tahun 1989 dan tinggal dan bekerja di Shanghai, China, sebelum kembali ke Hawaii pada tahun 2001.
Pendakwa raya memaklumkan saudara Ma yang tidak disebutkan namanya bersekongkol dengan tertuduh juga bekerja sebagai perisik CIA tetapi berhenti dari agensi itu pada tahun 1983 berikutan tuduhan mereka menggunakan kedudukan rasmi mereka untuk menolong warganegara China yang memasuki Amerika Syarikat.
Pendakwa raya mengatakan sekitar tahun 1998, saudara Ma dikenakan hukuman kerana membuat pernyataan palsu kepada institusi pinjaman.
Bagaimanapun, saudara Ma, yang kini berusia 85 tahun, tidak didakwa dalam kes ini kerana mengalami “penyakit kognitif”.
Pendakwa raya memberitahu, pengintipan Ma bermula pada bulan Mac 2001 dengan memberikan maklumat kepada China mengenai kakitangan, operasi dan kaedah penyembunyian komunikasi.
Pendakwa raya turut mendedahkan beberapa perjumpaan telah dirakam menerusi video, yang mana Ma dapat dilihat menghitung wang tunai sejumlah AS$ 50,000 yang diterima untuk kerja-kerja risikan.
Dokumen mahkamah menyatakan setelah Ma pindah ke Hawaii, dia mencari pekerjaan dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk akses semula rahsia-rahsia kerajaan yang kemudian menyerahkannya kepada pengendali perisik China.
Pejabat FBI Honolulu pernah mengupah Ma sebagai ahli bahasa kontrak pada tahun 2004, kata dokumen mahkamah.
CIA dan FBI enggan mengulas mengapa ia mengambil masa yang lama untuk menangkap Ma. – MalaysiaGazette