KUALA LUMPUR – Pemaju perumahan atau hartanah disarankan beralih menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang terbukti mampu mengurangkan kos pembinaan di samping meningkatkan produktiviti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu telah dibuktikan oleh syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah, MRCB apabila berjaya mengurangkan kos pembinaan sehingga 30 peratus.
“Bila mereka (MRCB) menggunakan sistem IBS yang telah mereka bangunkan, sekarang ini digunakan malahan projek mereka di Hong Kong dan juga Singapura mereka mengatakan dapat menjimatkan kira-kira 30 peratus kos.
“Mengapa 30 peratus kos ialah sebab bahan yang mereka gunakan lebih ringan, berbanding konvensional.
“Bila lebih ringan, bebanan dia lebih kurang dan untuk itu kos asas binaan jadi kurang.
“Itu perbandingan yang saya dapat bila MRCB buat pembentangan kepada kita dan begitu juga mereka yang lain seperti Gamuda,” katanya pada sidang media di Hotel Sunway Putra, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dengan Institut Rehda serta CREAM dengan Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi CREAM, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor; Pengerusi Institut Rehda, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.
Hadir sama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.
Jelasnya, melalui teknologi IBS, penyiapan sesuatu projek pula lebih cepat berbanding konvensional, sekaligus menjimatkan waktu pembinaan.
“Kalau projek dapat disiapkan dalam tempoh lebih cepat, kos itu akan dapat dikurangkan (tenaga kerja dan sewaan peralatan)
“Malahan di luar negara dalam kesemua sistem pembinaan sekarang hampir 100 peratus di Singapura, Australia adalah contoh terbaik,” katanya.
Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya mendedahkan penggunaan IBS dapat meningkatkan kadar produktiviti lebih dua kali ganda atau 70 peratus berbanding kaedah konvensional dalam projek pembinaan.
Oleh sebab itu katanya, sejak 2008, kerajaan telah mewajibkan penggunaan IBS ke atas projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas melalui pekeliling Perbendaharaan.
“Penggunaan IBS dalam projek swasta pula telah dikuatkuasakan melalui Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang telah mewajibkan semua projek swasta bernilai RM50 juta dan ke atas.
“Ia untuk menggunakan dengan minimum 50 skor IBS melalui syarat kelulusan Pelan Bangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Setakat 2019, Fadillah mendedahkan kadar penggunaan IBS dalam projek kerajaan telah meningkat dari 69.4 peratus pada 2016 kepada 86.7 peratus pada 2019.
“Kadar penggunaan IBS untuk projek swasta yang melebihi RM50 juta juga meningkat dari 14 peratus pada 2016 kepada 40 peratus pada 2019.
“Biarpun kadar penggunaan IBS oleh penggiat industri pembinaan swasta masih lagi rendah, ia menunjukkan peningkatan yang menggalakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette