Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kiri) bersama ahli Jawatankuasa BERSATU, Datuk Marzuki Yahya (dua kanan), Dr Maszlee Malik (kiri) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (kanan) hadir di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendaftarkan penubuhan parti baharu Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di perkarangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan menggunakan warna biru dengan tona baharu, iaitu biru pantone.

Warna itu berbeza dengan parti lamanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan lambang bunga raya dan berwarna merah.

“Warna asas logo PEJUANG adalah biru dengan tona baharu dan sedikit berbeza dari biasa (Biru pantone 7706 C atau C100 M60 Y35 K0). Warna biru adalah perlambangan kesatuan dalam berparti dan bernegara,” kata kenyataan parti itu hari ini.

Definisi Pejuang merujuk kepada setiap ahli-ahli parti yang tekad menggenggam dan menjulang prinsip perjuangan parti tanpa kompromi.

Pejuang menggunakan ‘Pejuang Berprinsip’ sebagai moto parti.

Terdahulu, tujuh pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini bagi mengemukakan permohonan secara rasmi untuk mendaftarkan parti politik berkenaan.

Mengetuai mereka adalah bakal Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Antara yang hadir adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Menurut Mukhriz, pihaknya berharap agar RoS dapat meluluskan pendaftaran parti berkenaan secepat mungkin agar mereka boleh terbabit secara langsung dalam demokrasi negara ini menerusi parti politik yang sudah mendaftar.

“Kami sudah menghantar permohonan secara dalam talian dan pada petang ini kami kemukakan salinan borang untuk diterima oleh pihak RoS untuk pertimbangan.

“Seperti mana biasa, pihak RoS akan meneliti setiap butiran dalam permohonan ini terlebih dahulu bagi memastikan kita mematuhi segala syarat yang ditetapkan seperti dibawah Akta Pertubuhan 1996 khususnya Seksyen 6,” katanya kepada media selepas selesai menghantar borang permohonan penubuhan parti itu hari ini.

Ahli Parlimen Jerlun itu juga berkesan buat masa ini tiada lagi jawatankuasa yang diberitahu dan hanya merangkumi tujuh pengasas parti itu.

“Selepas ini sekiranya (parti ini) diluluskan, maka kita perlu mengadakan mesyuarat penubuhan serta melantik 21 orang bagi mengisi jawatankuasa terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.