MILAN – Lazio meluahkan kekecewaannya terhadap keputusan David Silva menyertai Real Sociedad semalam.
Pengarah Sukan kelab itu, Igli Tare membidas sikap tidak bermoral bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu kerana didakwa telah memungkiri janji yang dicapai bersama sebelum ini.
Katanya, dia hilang rasa hormat terhadap bekas perancang tengah Manchester City itu yang menyertai kelab La Liga.
Tare mendakwa Silva telah memeterai kontrak bertempoh tiga tahun bersama Lazio dan hampir memuktamadkan penyertaan ke kelab tersebut.
Bagaimanapun beliau kesal dan mengecam sikap tidak amanah yang ditunjukkan Silva apabila tidak mengendahkan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak dan secara senyap menyertai Real Sociedad.
Sebelum ini Silva, 34, menandatangani kontrak dua tahun bersama Real Sociedad.
“Saya mendapat maklumat mengenai perpindahan David Silva ke Real Sociedad.
“Saya sangat menghormati dia, tetapi bukan sebagai manusia kerana tidak berpegang kepada amanah dan janjinya,” bidas beliau.
Silva telah menghabiskan masa selama 10 tahun bersama City.
Pada Jumaat lalu, penampilan terakhir Silva bersama skuad Pep Guardiola berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Lyon dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Silva pernah beraksi bersama Valencia selama enam musim sehingga 2010. – MalaysiaGazette