File picture

HARI ini 20 Ogos merupakan tarikh yang amat bermakna buat para pentadbir di kerana meraikan Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia. Pada tahun ini, Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) yang menaungi 20 persatuan pentadbir Universiti Awam (UA) di seluruh negara memilih moto ‘Memimpin Perubahan, Pemangkin Pencapaian’ sebagai baris kata semangat buat para pentadbir.

Pemilihan moto sebegini juga secara hikmahnya menonjolkan lagi nilai-nilai kebersamaan para pentadbir universiti secara inter mahupun intra universiti dalam mengadaptasi dasar dan pendekatan semasa Kerajaan dan pengurusan universiti dalam mendepani norma baharu Malaysia akibat pandemik Covid-19.

Pentadbir yang berada di universiti merupakan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) yang terdiri dari pelbagai skim perkhidmatan antaranya Pegawai Tadbir (N), Teknologi Maklumat (F), Sosial (S), Sains (C), Bakat dan Seni (B), Kewangan (W),Kejuruteraan (J), Perundangan (L) dan lain-lain lagi. Melihat kepada kepelbagaian skim ini ia sudah memberi gambaran bahawa kumpulan pentadbir ini merupakan golongan yang mempunyai pelbagai kepakaran dan pengkhususan yang boleh dimanfaatkan secara optimum untuk kecemerlangan universiti.

Pada masa kini, terdapat 9,652 orang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Universiti Awam yang merupakan sekitar 10 peratus dari 93,638 jumlah kakitangan yang berkhidmat di universiti kini. Walaupun merupakan kelompok yang kecil, tetapi peranan yang dimilikinya pentadbir universiti amat besar kerana mereka merupakan ‘tangan-tangan yang menjulang tinggi jua kaki-kaki yang memasak kukuh’ kepada siri-siri kejayaan dan kegemilangan yang dicapai oleh sesebuah universiti.

Kewujudan dan peranan Pentadbir Universiti Awam itu wujud dan berkembang selari dengan evolusi sistem pendidikan tinggi itu sendiri yang beralih dari pendidikan yang bersifat klasik kepada sebuah pendidikan kontemporari. Pengakhiran zaman pertengahan menandakan permulaan transformasi universiti, ia mula berubah dari sebuah pusat menyampaikan ilmu semata-mata kepada sebuah organisasi yang sistematik dan mempunyai kebitaraan (subject matter expert) tersendiri.

Pentadbir Universiti Awam sentiasa menjadi komponen sokongan yang setia mendokong dengan teguh dan utuh setiap hala tuju universiti dan pendidikan tinggi negara. Bagi penulis, simbiosis antara Pentadbir Universiti Awam dan universiti akan sentiasa wujud merentas zaman. Cuma yang menjadi perbezaan sejauh manakah untuk mengukur keberadaan Pentadbir Universiti Awam itu diraikan dan kelangsungannya itu diperlukan dalam ekosistem universiti yang makin mencabar dan makin kuat geloranya.

Sejauh mana dasar universiti itu diatur dan digerakkan mengikut arus keperluan semasa yang bersifat lokal atau global, keberadaan pentadbir untuk bersama-sama merencana pelan perubahan ini perlu dilibatkan dan diraikan secara holistik. Ini kerana para pentadbir mempunyai segala kemahiran dan saujana pengalaman bagaimana universiti harus diurus dalam kerangka pentadbiran. Atas sebab itu, penulis berpandangan peranan Pentadbir Universiti Awam itu sentiasa signifikan dari dahulu, kini dan mendatang.

Bagi memastikan Pentadbir Universiti Awam terus dilibatkan, dirujuk dan dihormati atas segala pengalaman serta kepakaran yang mereka miliki untuk melonjakkan universiti dan pendidikan tinggi, pentadbir harus mempersiapkan diri dengan nilai-nilai modal insan berprestasi tinggi. Membulatkan azam di awal tahun baru Hijrah 1442 ini, anjakan paradigma adalah jawapan bagi memperkasakan lagi wibawa pentadbir. Kumpulan pentadbir perlu berfikiran secara strategik, analitis dan kritis dengan tidak boleh lagi jumud dan berfikir dalam kerangka lama mahupun bernostalgia dengan corak warisan pentadbiran lampau sehingga mengongkong kemampuan untuk berfikir dan bertindak melangkaui sempadan kebiasaan.

Para pentadbir perlu mempunyai pegangan nilai dalaman diri yang kuat dan salah-satu nilai yang tidak boleh dikompromi adalah memiliki nilai integriti yang utuh. Inilah nilai yang akan membezakan seorang pentadbir yang bertanggungjawab dan pentabdir yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sehingga mencemarkan nama baik jabatan dan universiti.

Bagi memastikan kelestarian peranan pentadbir, kita perlu mengakui bahawa kelompok ini terdiri daripada individu yang mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri yang berbeza dengan rakan pentadbir yang lain walaupun dalam skim perkhidmatan yang sama. Oleh itu, pentadbir harus berani mencabar diri untuk menggilap kekuatan yang dimiliki sekaligus membangunkan potensi diri yang akhirnya boleh dimanfaatkan untuk kecemerlangan universiti dan ummah.

Tuntutan semasa memerlukan Pentadbir Universiti Awam perlu terus dilihat berwibawa dalam kedudukan strategik di Universiti. Melalui wibawa ini, Pentadbir Universiti Awam secara langsung mempunyai locus standi untuk menasihati dan mempengaruhi pihak-pihak berkepentingan dalam membuat sebarang keputusan. Berada dalam organisasi yang besar seperti universiti ini, kita mempunyai pemegang taruh yang datangnya dari pelbagai peringkat yang perlu diuruskan dengan baik.

Ketika pelbagai pihak menuntut Pentadbir Universiti Awam untuk kekal relevan dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi, tuntutan kepada keperluan mewujudkan ekosistem universiti yang sejahtera kepada Pentadbir secara inklusif melalui lantikan ke jawatan khas pentadbiran, diwujudkan skim perkhidmatan yang lebih menarik, mengatasi isu pentadbir berstatus kontrak dan laluan kenaikan pangkat yang amat terhad. Selamat menyambut Hari Pentadbir dan Maal Hijrah!

Oleh: Zaini Othman
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast