SHAH ALAM – Pemuda Amanah Negara Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali kerana gagal menjalani proses kuarantin wajib 14 selepas pulang dari Turki.
Laporan dibuat oleh Ketua Pemuda Amanah Selangor, Muhammad Fauzi Hasim dan barisan kepimpinan parti itu di Balai Polis Seksyen 6, di sini, kira-kira jam 3 petang ini.
Bercakap kepada media selepas itu, beliau memberitahu, pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 9.30 pagi, ada membaca sebuah portal bertarikh 18 Ogos bertajuk, “Teresa dakwa menteri pulang dari Turki tidak jalani kuarantin”.
Katanya, dalam portal itu dilaporkan, menteri berkenaan tidak menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.
“Kegagalan Dr. Mohd Khairuddin menjalani tempoh kuaranti jelas satu pelanggaran terhadap prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Walhal SOP itu telah diumumkan Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Julai lalu.
“Kesalahan yang dilakukan menteri dari Pas ini adalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya hari ini.
Dr. Mohd Khairuddin dalam responnya meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengesahkan akan akur dengan panduan dan peraturan serta arahan ditetapkan KKM.
“Tunggu sahaja kenyataan termasuk keputusan rasmi ujian Covid-19 dilakukan KKM. Sebagai menteri Kabinet yang bertanggungjawab, saya akan akur dengan apa juga kenyataan dikeluarkan KKM,” katanya.
Menurut Muhammad Fauzi, kegagalan pemimpin Pas itu mematuhi SOP PKPP dibimbangi akan mewujudkan kluster baharu Covid-19 dalam negara dan boleh menimbulkan ketakutan akan penyebaran wabak tersebut dalam kalangan rakyat.
“Saya mohon polis segera melakukan siasatan di atas kegagalan menteri itu menjalani tempoh kuarantin wajib,” katanya. – MalaysiaGazette
Blum menang PRU15 lagi , dah nmpak dah ciri2 ‘pemerintahan islam yg nak diterapkn oleh parti islam Pas ini..
menteri yang tak de disiplin. no quality minister!!!!!