DAKAR – Kerajaan Senegal telah meminta 2,700 tan ammoniam nitrat – kimia yang menyebabkan letupan besar di Beirut dipindahkan dari ibu negara ini.
Jumlah kimia yang ada di Pelabuhan Dakar itu sama banyak dengan yang disimpan di Beirut.
Ia merupakan sebahagian daripada 3,050 tan dari kiriman untuk Mali.
Pegawai pelabuhan mengatakan 350 tan sudah diangkut ke sana.
Kerajaan memaklumkan pemilik barang tersebut telah meminta bahan kimia tersebut disimpan di gudang di Diamniadio, kira-kira 30km (20 batu) dari Dakar.
Tetapi kementerian alam sekitar belum menyetujui permintaan itu, dengan mengatakan ia belum memenuhi semua syarat yang diperlukan, termasuk melakukan kajian impak alam sekitar dan sosial.
“Kami telah meminta pemiliknya untuk mengeluarkannya dari Senegal,” ujar pegawai kementerian tersebut.
Tidak jelas siapa pemilik barang tersebut dan apa yang mereka mahu lakukan di Mali.
Pegawai pelabuhan belum menyatakan tarikh penghantaran tiba di pelabuhan.
Memindahkan bahan kimia itu ke Mali menimbulkan cabaran memandangkan ketidakpastian politik semasa selepas rampasan kuasa tentera baru-baru ini di sana, yang menggulingkan Presiden Ibrahim Boubacar Keita. – MalaysiaGazette