KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan (IP) bagi bulan Jun IP berkembang dengan kadar yang lebih pantas untuk mencapai 4.5% pada Jun 2020 berbanding 0.6% pada bulan sebelumnya.

Indeks ini memberi isyarat awal hala tuju ekonomi ke hadapan.

Selain itu, IP juga merekodkan 3.7% pada Jun 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Pertumbuhan bulan ke bulan disumbangkan terutamanya oleh Bilangan Syarikat Baru Didaftar (1.5%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (1.3%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IP menunjukkan isyarat hala tuju ekonomi yang lebih baik berikutan sektor ekonomi telah dibenarkan untuk menyambung semula operasi, di samping mematuhi normal baharu bermula 10 Jun 2020 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Walaupun penyusutan mendalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku kedua 2020, IP menjangkakan pemulihan ekonomi pada separuh kedua 2020 selari dengan pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi dan dengan jangkaan tiada gelombang kedua wabak.

Manakala, Indeks Serentak (IS) yang mengukur keseluruhan prestasi ekonomi semasa, merekodkan 110 mata pada Jun 2020 daripada 113.5 mata pada Jun 2019, menurun 3.1% dari tahun ke tahun.

Secara bulanan, IS meningkat 8.7% terutamanya didorong oleh kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (3.2%) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (2.5%).

Jelas beliau, IS pada bulan rujukan menunjukkan peningkatan dengan pertumbuhan negatif tahun ke tahun yang lebih baik (Jun 2020: -3.1%; Mei 2020:-11.0%), selari dengan pertumbuhan menggalakkan eksport yang merekodkan peningkatan sebanyak 8.8% berbanding bulan yang sama tahun 2019.

Nilai jualan di sektor pembuatan meningkat kepada 4.1 peratus setelah mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang negatif selama tiga bulan berturut-turut.

Selain itu, Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit mencatat pertumbuhan tahunan negatif yang lebih baik pada Jun 2020 (Jun 2020: -11,2%; Mei 2020: -18,0%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast