PUTRAJAYA – Ketiadaan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Jun 2018 sehingga sekarang telah menarik perhatian Ketua Audit Negara terhadap urus tadbir Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp).
Ini kerana menurut Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan tidak dibentangkan untuk mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah serta tiada jawatankuasa audit atau fungsi Audit Dalaman sejak penubuhannya pada 2011 sehingga kini.
Ini termasuk penubuhan anak syarikatnya, MyXpats yang tidak teratur yang mana perpindahan saham pada masa itu masih lagi di bawah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan bukannya milik TalentCorp.
“Berlaku ketidakpatuhan dan apabila dilantik pengerusi baharu, beliau diberi kuasa eksekutif, menjadi Pengerusi Eksekutif.
“Apabila jawatan CEO tidak diisi lagi, Pengerusi pula menjadi Pengerusi Eksekutif maka Timbalan CEO mengendalikan TalentCorp. dan anak syarikatnya MyExpat menyebabkan ada unsur-unsur yang tidak teratur.
“Sepatutnya MyExpat menjadi anak syarikat TalentCorp tetapi masa perpindahan saham itu, ianya masih di bawah Timbalan CEO jadi syarikat tersebut bukan anak syarikat TalentCorp lah,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 di sini hari ini.
Selain itu, LKAN 2019 turut menemui kelemahan daripada segi aktiviti Returning Expat Programme (REP) yang tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan yang mana secara keseluruhan dari 2016 hingga 2019, prestasinya adalah tidak cekap.
Pengurusan promosi REP melalui aktiviti juga tidak berkesan serta tidak menampakkan hasil selain pengurusan permohonan yang tidak cekap kerana SOP sedia ada tidak lengkap dan tidak terperinci.
TalentCorp juga masih bergantung kepada geran kerajaan untuk aktiviti promosi serta perbelanjaan operasi masih tidak mampu menjana pendapatan sendiri.
Selain TalentCorp, TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. disenarai dalam kategori urus tadbir kurang memuaskan.- MalaysiaGazette