KUALA LUMPUR – Keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang membenarkan cetakan peta yang merangkumi negeri Sabah pada pasport negara berkenaan adalah satu langkah yang tidak masuk akal.
Malah, tindakan itu bakal mencetus kontroversi, di samping menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina.
Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr Tee Ching Seng menegaskan, Sabah adalah salah satu wilayah Malaysia dan fakta ini tidak boleh dinafikan.
Oleh iti, MCA berpendirian hak milik negeri Sabah tidak patut dipertikai.
“Kami akan membantah sekeras-kerasnya jika tindakan mencetak peta Filipina yang merangkumi negeri Sabah pada pasport negara berkenaan.
”Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA juga menggesa kerajaan Filipina supaya menghormati semangat ASEAN dan juga kedaulatan dan integriti negara Malaysia dan negeri Sabah. Kami menyokong apa-apa tindakan Wisma Putra yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Seperti mana yang dikatakan oleh Menteri Luar Negara Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini, Malaysia tidak akan mengiktiraf tuntutan asing ke atas Sabah dan negeri itu akan selamanya menjadi sebahagian daripada Malaysia.
”Maka, pencetakan peta yang menunjukkan Sabah sebagai milik Filipina tidak akan mengubah hakikat bahawa Sabah tetap milik Malaysia.
“Oleh itu, pihak-pihak di Filipina yang tidak bertanggungjawab digesa berhenti menjadikan Sabah sebagai modal politik mereka dan mengelak daripada menyakitkan hati warga Sabah dan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Semalam, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina telah meluluskan rang undang-undang baru berkaitan percetakan peta Filipina dengan membenarkan kerajaan mereka memasukkan negeri Sabah dan zon ekonomi eksklusif 200 batu (ZEE) ke dalam peta pasport negara mereka.
Memetik CNN Phillipines , Rufus Rodriguez yang menulis rang undang-undang House Bill 6399 ini berkata, pindaan ini bertujuan demi menegaskan hak dan sejarah mereka ke atas Sabah.
Selain itu, menekankan kemenangan mereka di Laut Filipina Barat ke atas China di Tribunal Arbitrase Antarabangsa di Hague, Belanda pada 2016
Tambahnnya, pengubalan pada dokumen perjalanan Filipina ini adalah satu kenyataan kuat bahawa negara tersebut begitu serius menjaga hak kedaulatan mereka di Laut Filipina Barat dan EEZ. – MalaysiaGazette
Nak gaduh ke……..