Suasana pantai yang cukup indah dan menenangkan.

Marhaba… Beberapa hari kebelakangan ini nampaknya cuaca panas terik di Muar. Panasnya membawa hingga ke malam hari.

Cuaca sekarang ini sukar untuk diagak. Bulan lalu di Muar hujan sehingga banjir melanda, tiba tiba bulan ini boleh bertukar panas yang amat terik hingga terasa menggigit kulit.

Antara aktiviti utama Che Pah kala petang hari ialah mengayuh basikal.Che Pah gemar menelusuri jalan jalan kecil di kawasan perkampungan.

Che Pah suka benar melihat rumah Melayu tradisional Johor yang menghiasi sepanjang lorong lorong kecil ini.

Seperti biasa, orang kampung di Muar ini suka menghiasi laman rumah dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Halaman rumah mereka sentiasa bersih. Sedap mata memandang. Kebiasaannya waktu petang sebegini sana sini orang membakar sampah. Bau asap sampah yang dibakar ini kadang kala menimbulkan banyak nostalgia buat Che Pah.

Maklumlah lebih 20 tahun duduk di ibu kota, mana merasa nak membakar sampah. Memang jadi angan anganlah jawapnya.

Antara jalan kampung yang Che Pah selalu redah seperti jalan Parit Amat Laut hingga ke Parit Bakar Laut.

Di Muar memang banyak parit. Ada Parit Bakar, Parit Amat, Parit Sepayong, Parit Ponogoro dan beratus parit lagi. Itulah identiti Muar. Unik sangat.

Sebenarnya yang dinamakan parit itu adalah kawasan perkampungan yang dipisahkan mengikut nama tertentu.

Kawasan yang dinamakan parit di Muar terutama yang terletak sekitar Jalan Sulaiman dan Jalan Abdul Rahman ini pula dibahagikan kepada dua iaitu bahagian berdekatan laut dan darat.

Kawasan di sepanjang Jalan Sulaiman dipanggil jalan darat mana kala yang berhampiran Pinggiran pantai di Jalan Abdul Rahman pula dipanggil jalan laut.

Contohnya Parit Bakar Laut itu adalah kawasan perkampungan yang berdekatan dengan perairan Selat Melaka.

Maka kawasan yang Che Pah dan sahabat Che Pah iaitu Khairul mengayuh basikal di petang hari itu sebenarnya terletak betul betul berdekatan perairan Selat Melaka.

Sebenarnya semua jalan bahagian dalam ini baru sahaja Che Pah temui. Selama ini Che Pah memang tidak tahu.

Ini kerana Che Pah baru beberapa tahun ke belakangan ini balik menetap semula di Muar. Che Pah sudah tak larat duduk di ibu kota.

Maka apabila sudah berbasikal, habis semua jalan dalam dan perkampungan Che Pah redah.

Sempat juga Che Pah merakamkan keindahan setiap tempat yang Che Pah redah. Sangat cantik dan mengagumkan.

Che Pah bertemu dengan hutan paya bakau yang sangat cantik. Hutan paya bakau ini masih dara dan tidak tersentuh agen kemodenan .

Jalan sudah pun siap dibina. Walau belum diturap tar namun ia sudah cukup selesa untuk mereka yang berbasikal.

Tidak berapa jauh dari hutan paya bakau, pandangan Che Pah dihidangkan pula dengan deretan pepohon nipah yang membentengi aliran anak sungai yang mengalir tenang.

Pohon pohon nipah ini kelihatan sangat cantik apatah lagi kala terkena limpahan mentari petang yang sedang melabuhkan tirainya di gigi langit. Pemandangan yang sangat langka kini.

Che Pah pun tidak melepaskan peluang. Terus merakamkan detik indah ini menggunakan telefon pintar Che Pah.

Usai merakam saat indah ini, Che Pah teruskan perjalanan menyeberangi anak sungai mengguna titi kecil yang disediakan.

Che Pah selusuri kawasan perkampungan Melayu. Che Pah terserempak sebuah rumah tradisional yang masih tegap berdiri..

Che Pah  minta izin tuan rumah  untuk merakamkan keindahan rumah serta persekitaran halaman rumah yang dijaga bersih. Pokok bunga kemas tersusun. Tiada sehelai daun di halaman rumah.

Sepanjang perjalanan juga terdapat beberapa ekor lembu yang dibiar lepas bebas meragut rumput. Mungkin lembu ini  terselamat dari dijadikan korban Raya Haji, kata hati Che Pah sambil tersenyum.

Sepanjang perjalanan berbatu kerikil ini juga, Che Pah menikmati sepuasnya pepohon kelapa yang melambai lembut kala dipuput angin petang. Segar rasanya angin petang di kawasan kampung.

Tidak seperti di bandar. Pagi dan petang sesam hidung ditusuk bau asap serta hingga bingar bunyi kenderaan. Serba menyesakkan.

Di sini fikiran jadi lapang. Terapi minda yang sangat baik. Udara bersih dan segar. Tiada bunyi hon kenderaan apatah lagi bau asap yang meloyakan.

Ditakdirkan Allah juga beberapa hari lalu, Che Pah bertemu semula dengan rakan zaman persekolahan iaitu Hussein. Hussein ini antara rakan sekelas yang rapat dengan Che Pah.

Hussein ajak Che Pah dan Khairul bersarapan pagi dengan nasi beringin keesokan paginya. Bertempat di Stesen Bas Muar atau lebih tepat gerai Hashim Nasi Beringin kami bertemu.

Hussein rupanya sekarang telah menetap di Seri Menanti iaitu salah sebuah penempatan dalam daerah Muar.

Sedang rancak berbual, Hussein membuka topik tentang kawasan tepian pantai berdekatan rumahnya.

Namanya Pantai Tambak Laut. Ada yang menggelarkannya Pantai Mesra. Che Pah kurang pasti yang mana satu nama yang selalu digunapakai.

Tak melepaskan peluang, petang itu selepas Asar, Che Pah dan Khairul terus ke sana. Perjalanan mengambil masa hanya 15 minit dari rumah Che Pah.

Memang menakjubkan. Che Pah tak sangka Muar punya kawasan tepian pantai sebegini cantik. Terasa seperti di Pantai Cenang, Langkawi.

Pasir memutih menghiasi pantai. Angin petang sepoi sepoi bahasa menghembus dari arah laut. Dari kejauhan kelihatan budak budak kampung sedang bermain.

Di tengah laut pula kelihatan kapal kargo sedang bergerak membelah perairan membawa muatan.

Kata Hussein jika dihujung minggu, ada sahaja keluarga yang membawa keluarga berkelah. Mereka membentang tikar  dibawah pepohonan sambil menikmati keindahan laut Selat Melaka yang terdampar indah di depan mata.

Alangkah baiknya jika semua kawasan indah dapat dimajukan oleh pihak kerajaan. Selain menjadi kawasan rekreasi, ia juga berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan.

Kala Che Pah ke Vietnam beberapa tahun lalu, kawasan pepohon nipah serta anak sungai kecil seperti ini dijadikan sebagai antara tarikan pelancongan  yang harus dinikmati oleh pelancong.

Kalau diperhati betul betul, bukanlah cantik sangat lokasi tersebut. Berselut ditambah pula dengan anak sungai yang keruh berbau.

Namun dek kerana promosi pelancongan yang hebat, tempat berselut pun boleh dijadikan sebagai objek menjana pendapatan negara.

Seakan tidak percaya rasanya melihat tempat sebegini boleh didatangi beribu pelancong pada setiap hari.

Jadi adakah ia mustahil buat negara kita? Daripada Ahli Parlimen duduk bertekak hingga bertegang leher dalam Parlimen dengan hujah yang membuang masa, adalah lebih baik jika isu menaikkan taraf ekonomi rakyat sebegini diperjuangkan.

Sudah sudahlah memaki hamun serta membuang masa di dalam Parlimen dengan hujah kosong. Balik balik dia tembak dia, dia cemuh dia.

Tahu tahu masa bersidang pun tamat. Satu usul untuk rakyat pun tidak berjaya dirumuskan. Berkelahi sahaja yang lebih.

Lebih baik hal meningkatkan peluang ekonomi serta pendapatan bagi rakyat sebegini diperjuangkan.

Rakyat pun dah muak tengok Ahli Parlimen baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang duduk bergaduh macam budak budak kalah main ting ting.

Bukankah kala sebuah kawasan tarikan pelancongan berjaya dibina, akan wujud lebih banyak industri hiliran seperti kedai makan, cenderamata, resort, chalet serta  hotel bajet dapat dibangunkan.

Maka rakyat akan memperolehi peluang bagi mencipta pendapatan buat meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Fikir fikirkanlah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast