SHAH ALAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyampaikan sumbangan bernilai RM 382,000 kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor dan 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Selangor semalam.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Dr Anis Mahmud.
Hadir sama, Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Datuk Abd Rahman bin Bakri.
PPN Selangor menerima RM80,000; wakalah zakat perniagaan NAFAS dan RM50,000 pula sebagai geran pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan PPN.
Sementara itu, sumbangan kepada 14 PPK pula disampaikan kepada pengerusi-pengerusi setiap PPK di Selangor yang menerima RM18,000 masing-masing.
Menurut Dr. Anis, perincian sumbangan kepada setiap PPK itu melibatkan sumbangan wakalah zakat bernilai RM10,000 dan RM 5,000 sebagai bantuan khas bagi meringankan beban ahli-ahli peladang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Manakala RM3,000 lagi merupakan geran pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan bagi setiap PPK.
“Semoga usaha dan niat murni NAFAS melalui penganjuran majlis penyampaian seumpama ini membawa kepada keberkatan pergerakan Pertubuhan Peladang serta industri pertanian secara keseluruhannya.
“Di harap PPK yang diamanahkan menerima sumbangan ini melakukan pengagihan kepada ahli-ahli peladang yang memerlukan bagi membantu meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pertubuhan Peladang di Selangor yang berlangsung di Hotel De Palma.
Katanya, sumbangan itu diharap dapat memberi galakan dan motivasi kepada semua untuk terus maju dalam kehidupan serta dapat merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara.
“Program seumpama ini dianjurkan sebagai menunjukkan komitmen NAFAS untuk bukan sahaja memastikan kemajuan aktiviti perniagaan NAFAS dan gerakan Pertubuhan Peladang tetapi juga sebagai salah satu usaha NAFAS menyumbang kembali serta berkongsi keuntungan NAFAS kepada komuniti peladang.
“Semoga usaha dan niat murni NAFAS melalui penganjuran program seumpama ini membawa kepada keberkatan pergerakan Pertubuhan Peladang serta industri pertanian secara keseluruhannya.
“Sumbangan NAFAS pada hari ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada lebih 900,000 ahli peladang yang berdaftar di bawah NAFAS,” katanya.- MalaysiaGazette