PUTRAJAYA – Rundingan kerusi di antara Barisan Nasional (BN) dengan parti-parti sahabat di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kini sudah selesai sehingga 80 peratus setakat ini.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun enggan mendedahkan pecahan kerusi yang akan ditandingi BN dan parti-parti Sabah bagi menentang calon-calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dengan pertandingan satu lawan satu.
“Soal siapa bertanding di mana, itu Datuk Seri Bung Moktar Radin diberikan mandat dan beliau sedang memuktamdkan (pembahagian kerusi) malah malam tadi pun beliau sudah memberi saya laporan.
“Saya belum boleh sebut di sini kerana itu bidang kuasa beliau dan beliau sendiri akan buat pengumuman calon-calon dalam kalangan parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Masing-masing akan buat pengumuman calon masing-masing. Kita sudah 80 peratus rundingan antara parti-parti Sabah berjalan dengan baik, telah ada persefahaman,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi Town Hall sempena penjenamaan semula Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi BN dan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa BN Sabah akan menggunakan logo dacing dalam PRN Sabah pada 26 September ini.
Selain itu, Annuar yang juga Ketua Koordinator BN PRN Sabah berkata, pihaknya bersama parti-parti sahabat di Sabah telah sebulat suara untuk tidak menentang antara satu sama lain dan mengekalkan pertandingan satu lawan satu.
“Kita tidak akan menentang antara satu sama lain, kita akan masuk sebagai pembangkang yang bersatu dan tinggal satu dua perkara saja, jadi perkembangannya berjalan dengan baik setakat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette