Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama timbalannya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bersama rakan strategik pada Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 OGOS 2020.

SERDANG – Selaras dengan pembudayaan norma baharu Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan 2020 (MAHA 2020) yang bakal diadakan pada 26 November sehingga 29 November ini akan dilangsungkan secara hibrid iaitu melalui kombinasi fizikal dan maya.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, berikutan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, MAHA 2020 kali ini bakal menyaksikan hanya 10,000 sehari bagi pengunjung jemputan secara fizikal manakala pengunjung maya lebih 100,000 sehari namun potensi jualan adalah lebih RM300 juta.

Sasaran tersebut adalah melebihi hasil jualan pada penganjuran MAHA sebelum ini iaitu RM215 juta dengan kehadiran 3.3 juta pengunjung.

“Apa yang menarik pada MAHA 2020 adalah fokus kita tidak hanya terhad kepada produk-produk hasil tani sahaja seperti MAHA-MAHA sebelum ini tetapi kita juga memberi lebih fokus kepada elemen-elemen yang mempunyai hubung kait dengan industri ini seperti perisian dan teknologi; syarikat-syarikat penanaman dan penternakan; pengedar logistik dan pelanggan; pedagang; peranti data dan analitikal serta industri lain yang berkaitan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan pra pelancaran MAHA 2020 di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (dua kanan) diiringi timbalannya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tengah) mendengar penerangan daripada Pengarah Sekretariat MAHA, Azman Mohd Saad (kiri) pada Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2020 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 OGOS 2020.

Acara selama empat hari itu akan diadakan di MAEPS, Serdang manakala bagi saluran maya pula, laman web dijangka boleh mula diakses pada hujung September ini.

Bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan SOP, pihak penganjur meminta para pengunjung termasuk orang awam yang mahu menghadiri MAHA 2020 secara fizikal untuk membuat pra-pendaftaran terlebih dahulu.

Hanya pengunjung yang berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan mengunjungi MAHA 2020 secara fizikal.

Bagi platform maya pula, program yang sama dengan pameran fizikal turut disediakan antaranya urusniaga untuk pasaran domestik dan luar negara; sesi perbincangan; webinar; sidang video dan promosi produk pameran.

“Kami akan pastikan laman web tersebut tidak mengalami gangguan supaya pengunjung dapat menikmati pameran MAHA 2020 seperti biasa meskipun tidak dapat hadir ke MAEPS,” katanya lagi.

Tambah Ronald, MAHA 2020 yang bertemakan Pertanian Penjana Ekonomi Negara bakal menjadi platform kepada kementerian untuk mencapai objektif yang disasarkan antaranya mempamerkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang agromakanan; menggalakkan penglibatan generasi muda menceburi bidang perniagaan tani; serta memartabatkan MAHA sebagai pameran perdagangan perniagaan terunggul dengan menarik penyertaan syarikat korporat dan pemain industri.  -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast