Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysian Football League (MFL) untuk menetapkan tiada penyingkiran bagi pasukan berstatus Liga Premier memberikan kelegaan kepada majoriti pasukan bertanding selain menyifatkan sebagai satu keputusan yang adil kepada semua pihak.

Antara yang menerima perkhabaran ini dengan penuh positif ialah Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman yang bersetuju pendekatan itu dilakukan memandang tiada pasukan dari Liga M3 yang akan dinaikkan ekoran saingan liga itu telah dibatalkan pada musim ini.

Justeru, beliau menganggap situasi itu telah menghilangkan tekanan buat Kuching FA yang kini berada di tangga kedua tercorot Liga Premier tambahan mereka hanya mempunyai baki tujuh perlawanan untuk melakar kebangkitan.

“Kami melihat keputusan ini sebagai satu bonus, bukan sahaja kerana melihat kepada kedudukan kami buat masa sekarang tetapi memandangkan liga hanya dijalankan bagi satu pusingan sahaja.

“Jadi amat sukar buat kami merancang dan merencanakan strategi kita untuk naik ke tangga yang lebih tinggi kerana perlawanan sudah tidak banyak lagi untuk dimainkan.

“Namun, kami tidak mahu bersikap terlalu ambil mudah selepas mengetahui perkara ini dan kami akan cuba memburu kedudukan tangga yang lebih tinggi berbanding pada masa sekarang,“ katanya kepada MFL.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman mengakui melihat keputusan oleh Ahli Lembaga Pengara MFL itu sebagai satu kesempatan buat mereka kekal lebih lama dalam saingan Liga Premier.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan mereka tetap memasang impian besar walaupun berstatus pendatang baharu Liga Premier kerana mahu memburu slot ke CIMB Liga Super pada musim depan.

“Bagi pihak Kelantan United melihat perkara itu adalah satu berita baik buat kami terus kekal di Liga Premier.

“Cuma kami tetap cuba buru tempat ke Liga Super berdasarkan kedudukan kami sekarang dan apa diumumkan oleh MFL adalah satu bonus kepada kami.

“Saya juga melihat sebagai sesuatu yang adil kepada semua pasukan untuk bersaing kerana selepas berehat terlalu lama iaitu lima bulan, sukar buat mana-mana pasukan mendapatkan kembali momentum ditambah hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja, ” katanya.

Pada Rabu lalu, MFL dalam satu kenyataan media mengumumkan tiada penyingkiran bagi saingan Liga Premier susulan Amateur Football League (AFL) telah membatalkan semua saingan Liga M3 pada 8 Jun 2020 akibat penularan pandemik COVID-19.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast