KUALA LUMPUR – MIC yang sebelum ini berada dalam krisis berikutan pendaftaran mereka dengan Perikatan Nasional (PN) hari ini bertindak keluar dari pakatan itu dan menetapkan pendirian untuk kekal Barisan Nasional (BN).
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tindakan keluar PN itu selepas perbincangan bersama dengan jawatankuasa khas untuk krisis tersebut.
“Tidak, kami tidak terima apa-apa tekanan daripada sesiapa termasuk mana-mana pimpinan BN.
“Sebaliknya ini adalah keputusan bersama oleh sebuah jawatankuasa khas yang kita tubuhkan isu ini. Pada kami, pendaftaran pada tempoh hari dengan PN hanya kerana kami menyangka BN juga akan daftar.
“Keputusan pada 11 Julai lepas oleh MIC mendaftar dengan PN kerana sangkaan BN juga akan menyertainya bersama-sama. Tetapi apabila pada 28 Julai kata tidak sertai, maknannya keputusan MIC daftar PN juga tidak boleh di guna pakai lagi.
“Jika keputusan menyatakan sebaliknya dan BN hanya menyokong PN dan bukan mendaftar kita juga begitu. Kami tetap sebagai komponen BN,” katanya sebentar tadi.
MalaysiaGazette juga menerima surat yang telah di tandatangani oleh Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan.
Surat tersebut di hantar oleh MIC kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) memaklumkan keputusan terbaru Majlis Tertinggi Pusat (CWC) menggugurkan mereka sebagai Jawatankuasa Penaja PN serta ianya tidak boleh diguna pakai berkuatkuasa serta merta.
Ahad lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan MIC telah mendaftar dengan PN bersama-sama rakan dalam BN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kerana PN perlu didaftarkan secara rasmi.
Artikel berkaitan: UMNO yang beri tanggapan BN sertai PN, MIC ikut sahaja – Vigneswaran
Manakala pada masa sama UMNO pula menolak untuk mendaftar dengan PN sebaliknya lebih selesa dengan Muafakat Nasional (MN).
Artikel berkaitan: TERKINI : MIC antara Komponen BN Sertai PN! PRU15 BN Tetap Guna Logo Dacing – Zahid Hamidi
Bagaimanapun menurut Vigneswaran, beliau mengetahui UMNO tidak sertai PN pada 29 Julai lepas.
Menurut Vigneswaran, Ahmad Zahid sebenarnya telah memberi tanggapan bahawa akan adanya satu gabungan besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah payung PN. -MalaysiaGazette
terbaik… MIC.