KUALA LUMPUR – Untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 dan bagi menanam semangat patriotik di kalangan murid, Pertubuhan Perinnbam Malaysia (Perinnbam) menganjurkan kempen mengibar Jalur Gemilang.
Kali ini, NGO itu turun ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves dan Pinggiran Batu Caves untuk mengagihkan Jalur Gemilang, termasuk melekatkan di kenderaan.
Menurut Pengasas dan Penasihat Perinnbam Malaysia, U. Thamotharan, kempen itu diadakan di seluruh negara dengan menggalakkan rakyat Malaysia di peringkat sekolah rendah mengibarkan Jalur Gemilang, iaitu bendera kemegahan negara.
Katanya, program itu diadakan dengan kerjasama MIC Bahagian Gombak dan mahu disemarakkan di sekolah SJKT di negeri ini.
“Tinggal dua hari sahaja lagi untuk kita rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyambut hari kerabat, Hari Merdeka ke-63.
“Saya lihat, sambutan orang ramai agak dingin, tetapi NGO saya turun ke sekolah sejak seminggu lalu sehingga 30 Ogos ini untuk menzahirkan rasa cinta kami dan rakyat dengan sejarah tanah air menuntut kemerdekaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Katanya, program ke-17 ambang Merdeka 2020 Perinnbam Malaysia itu mendapat sambutan pelbagai pihak termasuk parti MIC.
Turut hadir, Setiausaha Agung Perinnbam Malaysia, S. Kuberan; Ketua MIC Bahagian Gombak, Sukumaran; Setiausaha Kehormat MIC Bahagian, Gobiraj Kathan; Wanita MIC Bahagian, Ahli Jawatankuasa MIC Bahagian Gombak serta ahli Perinnbam Selangor. – MalaysiaGazette