ASSALAMUALAIKUM kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semoga YAB Tan Sri sihat sejahtera dan dalam jagaan Allah SWT.
Tujuan menulis surat terbuka ini demi menyampaikan suara seorang rakyat marhaen, mungkin juga membawa suara jutaan lagi rakyat Malaysia, khususnya yang cintakan dan menjunjung perpaduan negara.
Tan Sri, kenyataan media Tan Sri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique tempoh hari mengejutkan ramai pihak terutama majoriti orang Melayu dan mereka yang cintakan perpaduan nasional sebenar dengan kenyataan persetujuan penambahan lebih banyak sekolah vernakular bakal diwujudkan.
Rakyat yang rata-rata mahu melihat Malaysia segar membawa perubahan dalam kepimpinan Kabinet Tan Sri yang diperkatakan sebagai “peduli rakyat” ketika Covid-19 sedang melanda sudah menjadi keliru dengan kenyataan Tan Sri.
Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai pelbagai budaya, bangsa dan agama. Hebatnya Malaysia terletak kepada perpaduan serta kerjasama dari semua kaum dalam memajukan negara.
Malaysia menjunjung prinsip Rukun Negara yang ditegaskan YAB Perdana Menteri sendiri dan ini seharusnya disokong bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, namun setiap pemimpin parti politik yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kedamaian serta integriti perpaduan negara secara bermaruah.
Malaysia disokong oleh sistem Raja Berperlembagaan serta Islam sebagai agama persekutuan. Ini telah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas. Majoriti rakyat di Malaysia adalah orang Melayu disusuli kaum Cina dan India serta pelbagai lapisan kaum lain. Uniknya pelbagai kaum membentuk Malaysia, bertolak ansur, bersatu padu.
Generasi muda perlu mula disemaikan sifat kecintaan, Kesetiaan kepada Raja Negara dan memahami Perlembagaan Persekutuan sedari kecil.
Sifat cinta, kesetiaan, perpaduan ini tidaklah datang bergolek. Ia harus disemai, dibaja dan dijaga secara berterusan. Cara terbaik adalah melalui satu sistem kebangsaan Pendidikan Nasional sedari kecil. Belajar bersama-sama, bermain bersama-sama serta fasih berbahasa Melayu kerana bahasa itu jiwa bangsa.
YAB Perdana Menteri, rakyat menunggu perubahan sistem dalam pendidikan supaya boleh ditambah baik, bukannya makin disegregasikan. Pendidikan Integrasi Nasional perlu diterapkan melalui membina lebih banyak sekolah kebangsaan, tambah baik infrastruktur, tingkatkan kualiti sistem pengajaran dan pembelajaran serta baik pulih apa yang usang.
Apabila pelbagai kaum bersama dalam suatu sistem Pendidikan Nasional yang membawa kefahaman mengenai tanah air sendiri, di situlah Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi boleh diangkat martabatnya serta diperkasakan.
Melalui sistem Pendidikan Kebangsaan yang mantap dan diperhebatkan, Rukun Negara boleh difahami dengan baik, sejarah Malaysia yang asalnya Tanah Melayu boleh dijiwai serta segregasi antara kaum di dalam pendidikan boleh dikurangkan.
Jelas diketahui, asalnya sekolah jenis kebangsaan yang diwujudkan semasa zaman penjajah terus mengasingkan perpaduan. Inilah realiti, rata-rata masih ramai rakyat Malaysia yang memiliki status kewarganegaraan, anehnya tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik. Ini suatu keciciran sebagai rakyat Malaysia yang setia. Tidak seharusnya ini berlaku setelah generasi zaman berzaman mengecap kebahagiaan serta kemakmuran negara.
Saya terkenang dua tokoh jiwa hebat pendidikan negara iaitu (mantan) Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran, Dr. Aminudin Baki yang sedaya upaya cuba memperkasakan Pendidikan Nasional dan mempertahankan hak bahasa Kebangsaan untuk terus dimartabatkan, tetapi akhirnya terpaksa menunduk dengan kesilapan pemimpin politik yang sentiasa dahagakan undi.
Semua usaha Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 membina satu sistem pendidikan kebangsaan menjadi sia-sia apabila sijil peperiksaan bahasa lain pula dilaksanakan.
Secara jelas Perkara 152 (a , b) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan jika kerajaan mengiktiraf sijil lain sebagai sijil rasmi persekutuan.
YAB Perdana Menteri yang saya hormati, perpaduan hanya boleh dicapai jika para pemimpin di Dewan Rakyat serta kerajaan ikhlas memperjuangkan sistem kebangsaan negara bangsa dan tidak mengambil hak pendidikan kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Majukanlah serta tingkatkanlah kualiti pendidikan kebangsaan, tambahlah dana demi sistem kebangsaan, pupuklah semangat perpaduan menerusi satu sistem kebangsaan supaya Integrasi Nasional boleh disemarakkan, cinta Rukun Negara dijiwai, bukan sebagai pihak yang berkuasa kita pula memilih jalan berbeza,
Janji YAB Perdana Menteri serta Kabinet yang melaungkan slogan Kerajaan Melayu Islam diperhatikan rakyat. Islam itu adil, syumul, sejahtera juga tidak sesekali menidakkan hak manusia lain, tetapi jangan pula kita sendiri menidakkan hak untuk menjaga serta memelihara amanah yang diberikan kepada negara.
Bahasa, budaya dan adat sentiasa boleh dipelihara secara sekondari tanpa membelakangkan sistem perpaduan melalui Pendidikan Nasional.
Saya juga ingin menyampaikan salam pertubuhan dan badan bukan kerajaan lain seperti NGO Melayu yang khabarnya sudah lama ingin bertemu kepimpinan terhormat YAB Perdana Menteri. Harap diberikan mereka peluang. – MalaysiaGazette
Penulis Dr. Asmah Razalli adalah Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia