JAKARTA – Tiada warga Indonesia terlibat dalam dua pengeboman yang mengorbankan 14 orang dan mencederakan 75 yang lain di Jolo awal minggu ini.
Menteri Luar Negeri Retno Marsudi menolak tuduhan itu ketika menzahirkan ucapan takziah Indonesia terhadap serangan itu.
Kenyataan itu dibuat selepas ada dakwaan yang menyatakan salah seorang pengebom berani mati dalam kejadian itu adalah warga Indonesia.
“Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, pemerintah dan rakyat Filipina,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diterima oleh kementeriannya, tiada warga Indonesia yang terlibat.
Retno berkata, kementeriannya akan memantau situasi itu melalui kerjasama antara Kedutaan Indonesia di Manila dan Pejabat Konsulat di Davao.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, dua pengebom berani mati itu dilakukan oleh wanita dan kedua-duanya orang tempatan.
“Siasatan awal memaklumkan kedua-dua letupan itu dilakukan oleh balu militan,” ujarnya.
Setakat ini tiada kumpulan yang mengaku melakukan serangan tersebut tetapi Kerajaan Filipina percaya ia mungkin ada kaitan dengan oleh IS dan Kumpulan Abu Sayyaf. – MalaysiaGazette