KABUL – Para penyelamat di Afghanistan terus melancarkan gerakan mencari mangsa-mangsa yang hilang dan terperangkap di dalam lumpur dan runtuhan selepas banjir kilat yang telah mengorbankan 160 orang dan menghanyutkan rumah di seluruh negara.
Sebanyak 13 wilayah, kebanyakan di utara negara itu dilanda banjir, kata Menteri Pengurusan Bencana.
Di Parwan, di utara ibu kota Kabul, 116 orang telah terbunuh dan lebih dari 120 orang cedera, dengan 15 orang masih hilang.
“Kumpulan penyelamat masih berada di kawasan dan usaha mengesan mangsa-mangsa masih berjalan,” kata jurucakap Gabenor Parwan, Wahida Shahkar.
Banjir kilat melanda Parwan pada awal hari Rabu, menghanyutkan rumah dan bangunan.
Jurucakap polis tempatan, Salim Noori mengatakan kebanyakan petani dan pekerja am adalah golongan yang paling terjejas kerana bergelut dengan krisis kewangan.
Polis pula merayu derma darah memandangkan ramai yang cedera.
Kementerian Pertahanan mengatakan pasukan keselamatan Afghanistan membantu dalam usaha pemulihan dan mengagihkan bantuan.
Pada masa sama, pasukan keselamatan berhadapan dengan peningkatan keganasan dari pemberontak Taliban ketika permulaan rundingan damai di Doha yang ditunda.
NATO mengatakan bahawa pasukannya juga menyokong tentera Afghanistan telah menerbangkan makanan, air dan selimut ke kawasan itu awal minggu ini. – MalaysiaGazette