KUALA LUMPUR – Ranhill SAJ buat julung-juling kalinya menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan penghasilan filem pendek berjudul Hujan Emas.

Filem berdurasi lapan minit dan 55 saat itu mengetengahkan unsur keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat Ranhill SAJ dalam menyokong usaha Kerajaan untuk terus memupuk semangat cintakan negara, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr. Nor Ifuan Md Nor berkata, filem itu menyampaikan mesej jelas mengenai rakyat Malaysia yang menggabungkan watak-watak berasal dari Johor dan Sabah sebagai menepati sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Secara ringkasnya, ia mengisahkan seorang warga Malaysia berasal dari Johor bernama Sulaiman yang menetap di London selama 20 tahun dan berhasrat untuk mendapatkan kerakyatan British dan meninggalkan tanah air buat selama-lamanya.

Ia meneroka kemelut dalam diri Sulaiman sama ada dia membuat keputusan yang betul. Pertemuan ringkasnya dengan seorang seorang wanita berasal dari Sabah yang telah mengembara ke serata pelusuk dunia namun tetap memilih Malaysia, menambahkan lagi keraguan akan keputusannya itu.

“Hujan Emas menghayati nilai-nilai keunikan di Malaysia dan turut menyatukan unsur air sebagai metafora kehidupan yang sekaligus bertepatan dengan Ranhill SAJ sebagai pembekal air di Johor,” kata Nor Ifuan pada majlis tayangan perdana filem itu.

Pada majlis tersebut, Ranhill SAJ juga melancarkan saluran YouTube filem itu yang akan dimuat naik untuk ditonton oleh semua rakyat Malaysia.

Menurut Nor Ifuan, saluran YouTube Ranhill SAJ dan Ranhill SAJ TV akan memanfaatkan orang ramai khususnya pelanggan di mana pelbagai video akan dimuat naik, seperti cara pengendalian kendiri (do-it-yourself) tentang bagaimana membaiki paip dan sebagainya.

Di samping itu, kandungan lain yang berkaitan dengan Ranhill SAJ, masyarakat dan air juga akan dimasukkan.

Selain saluran YoutTube, Ranhill SAJ juga buat masa ini mempunyai laman media sosialnya di Facebook iaitu “Ranhill SAJ – Setitis Yang Bermakna” dan Instagram “ranhillsaj”.

Facebook “Ranhill SAJ – Setitis Yang Bermakna” menjadi platform untuk orang ramai mendapatkan maklumat terkini, serta mengikuti siaran Ranhill SAJ TV Live termasuk program Tazkirah Air, Segalanya Air dan Borak-Borak Air.

“Melalui ketersediaan teknologi dan platform digital seperti ini, kami percaya ia akan membantu dalam usaha kami untuk mendekatkan lagi diri dengan masyarakat khususnya para pelanggan dan semua pihak berkepentingan lain.

Inilah sebahagian komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan. Pada masa yang sama, kami akan terus memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam segala aspek kehidupan demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” jelas Nor Ifuan. – MalaysiaGazette