KUALA LUMPUR – Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh memohon maaf menerusi akaun Instagram miliknya, dipercayai susulan tindakannya yang tidak menghadiri latihan pasukan itu selama hampir sebulan.
Berdasarkan kemaskini di Instagramnya itu, pemain naturalisasi berkenaan yang terkenal dengan nama samaran ‘Keli Boy’ itu turut memberi sedikit bayangan mengenai masa depannya selepas dia dikhabarkan akan meninggalkan skuad Tok Gajah pada musim depan.
“Kepada penyokong dan peminat saya yang dihormati, sayangnya perkara akhirnya terjadi begini. Saya tidak berniat untuk mungkir janji mengenai sokongan saya terhadap pasukan yang berprestij ini.
“Kadang kadang, sesuatu tidak berlaku seperti mana yang diharapkan. Saya meminta maaf atas segala kesulitan yang berlaku disebabkan perkara ini.
“Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya,” kata Sumareh.
Sebelum ini, pengurus pasukan, Datuk Suffian Awang mengesahkan pemain itu ‘ponteng’ latihan pasukan selama hampir sebulan dan tidak muncul pada hari perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
Justeru, Suffian menjelaskan, perkara itu akan dibawa ke pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sebelum apa-apa keputusan diambil terhadap pemain tersebut.
Malah, Suffian menegaskan pihaknya sama sekali tiada masalah untuk melepaskan pemain itu, namun ia perlu dibuat mengikut proses sewajarnya dan secara ‘gentleman.’
“Sebaiknya pemain itu datang berjumpa dengan pengurusan secara ‘gentleman’ untuk berbincang. Setakat ini tiada hubungan daripada mana mana pasukan kerana mungkin mereka menghubungi pemain itu secara peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette