Arkib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan jemaah menteri menyempurnakan gimik perasmian tabung Covid-19 semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2020.

KUALA LUMPUR- Kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center mendapati peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin disebabkan cara mereka mengendalikan Covid-19.

Tindakan pantas kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan yang terjejas menjadi penyumbang utama kepada sokongan tersebut.

Selain itu,  rasa puas hati orang Melayu melihat parti-parti politik Melayu yang selama ini bersaing sesama sendiri kini bersama-sama berganding bahu di dalam satu perikatan juga antara faktornya.

Hasil kaji selidik mendapati sebanyak 93 peratus responden berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan pandemik berkenaan.

Dalam pada itu, sebanyak 68 peratus setuju kerajaan sangat membantu golongan memerlukan dan sebanyak 61 peratus lagi bersetuju dengan cara kerajaan menguruskan ekonomi.

Bagaimanapun, pada waktu yang sama, persepsi terhadap cara kerajaan membasmi rasuah turun lima peratus kepada 38 peratus berbanding tiga bulan lalu.

“Dari segi masalah terbesar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia kebanyakan, kaji selidik menunjukkan isu isi perut terus menjadi perkara penting yang sentiasa berlegar di fikiran mereka.

“Enam daripada 10 responden risau mengenai ekonomi manakala isu kesihatan dan kesejahteraan akibat Covid-19 berada di tangga kedua (10.1 peratus) disusuli dengan isu berkaitan hubungan kaum (3.6 peratus) dan isu politik (2.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kaji selidik berkenaan turut mendapati Perikatan Nasional menikmati persepsi positif paling tinggi dalam kalangan pengundi.

Lebih separuh atau 51 peratus responden melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang positif manakala 27 peratus lagi negatif.

Bagaimanapun, hanya 37 peratus responden melihat Muafakat Nasional sebagai positif yang mana angka ini agak rendah berbanding komponen parti yang lain seperti Barisan Nasional (40 peratus) dan Pas (39 peratus).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru sahaja melahirkan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) hanya mendapat 28 peratus pandangan positif dan 39 peratus negatif.

Pakatan Harapan (PH) pula mendapat skor negatif tertinggi dengan 52 peratus.

Dalam pada itu, hanya 25 peratus responden gembira dengan pakatan yang ditubuhkan oleh PKR, DAP dan Amanah.

“Keputusan (kaji selidik ini) turut menunjukkan peralihan sokongan yang besar daripada pengundi Melayu kepada perikatan parti politik Melayu seperti Perikatan Nasional (PN) dan MN meskipun terdapat pandangan yang berbeza daripada sebilangan pemimpin dalam perikatan tersebut,” katanya.

Kaji selidik itu dijalankan antara 15 Julai sehingga 10 lalu bagi mengumpul persepsi pengundi terhadap ekonomi, kepimpinan dan isu-isu semasa.

Seramai 3,415 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peritus India, enam peratus bumiputera Islam dan enam peratus bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak terlibat dalam kaji selidik ini.

Temubual dijalankan melalui panggilan telefon sama ada talian tetap mahu pun telefon bimbit.

Pemilihan responden adalah secara rawak berdasarkan pensampelan berstrata terhadap kumpulan umur, etnik, jantina dan dewan undangan negeri.- MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/09/02/majoriti-pengundi-puas-hati-dengan-muhyiddin-kerajaan-pn-merdeka-center/