LONDON – Arsenal berjaya melengkapkan pembelian pakar pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes dari Lille dengan nilai £23.14 juta hari ini.
Laporan Britain mendakwa pemain Lille berusia 22 tahun itu melakukan 34 penampilan dalam semua perlawanan musim lalu dan membantu kelab menamatkan saingan di tempat keempat dalam Ligue 1 Perancis musim 2019/20.
Dia menyertai the Gunners dengan kontrak panjang namun kelab England itu tidak memperincikan tempoh kontrak tersebut.
Pengarah Teknikal Arsenal Edu berkata, kelabnya telah lama mengintai perkembangan Gabriel dan dia menjadi rebutan kelab terkemuka Eropah.
“Gabriel jenis pemain yang berkualiti tinggi dan Mikel Arteta dan pasukan kejurulatihan sudah membuat ketetapan mengenai potensi pemain itu menyinar di Emirates nanti,” tegasnya.
Arteta pula berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Gabriel ke kelab itu dan kedatangannya akan menguatkan lagi jentera pertahanan pasukan menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris musim 2020/21.
“Dia telah membuktikan bakatnya di Lille dan kini kita akan menyaksikan bersama pembangunan dia bersama the Gunners selepas ke arah kegemilangan,” ujar Arteta.
Gabriel turut mengakui dia telah berbincang dengan ahli keluarga dan pengarah pasukan Lille sebelum berkeputusan menyertai Arsenal.
“Saya kini berada di sini dan tidak sabar untuk menyarung jersi Gunners dan beraksi di Emirates.
“Pelan pembangunan pasukan Gunners dibawah kendalian Pengurus muda Arteta sangat meyakinkan saya dan keluarga yang kemudian memudahkan saya membuat keputusan berhijrah ke London,” tegas Gabriel.-MalaysiaGazette