KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan memperuntukkan sebanyak RM195,350 bagi menjayakan program Ceria Atlet Selangor 2020.

Ia untuk meringankan beban para bekas atlet Selangor termasuk atlet Orang Kurang Upaya (OKU).

Exconya, Mohd Khairuddin Othman berkata, dengan bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), kerajaan Selangor dapat mengenal pasti bekas atlet dan atlet OKU yang kurang bernasib baik yang sebelum ini mengharumkan nama Selangor dan negara.

“Ada bekas atlet dan atlet OKU kita dengar hidup serba kekurangan selepas bersara, tidak kurang pula hidup melarat sedangkan mereka pernah mengharumkan Selangor dan negara.

“Melalui program ini, kerajaan negeri akan membaikpulih kerosakan rumah atlet serta pemberian barang keperluan seperti perabot dan kelengkapan runah dengan anggaran harga berjumlah RM5,000 untuk setiap rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Selangor meletakkan sasaran untuk membantu sekurang-kurangnya 50 rumah bekas atlet dan atlet OKU di seluruh negeri yang memerlukan bantuan dan perhatian.

“Setakat ini YAKEB menerima kira-kira 250 permohonan dan pemilihan dibuat berdasarkan penilaian oleh pejabat Exco, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor serta YAKEB ke rumah bekas atlet dan atlet OKU,” katanya.

Program ini akan bemula pada 5 dan 6 September 2020 dengan aktiviti membaikpulih dan menyalurkan bantuan kelengkapan perabot di dua buah rumah bekas atlet para di Gombak dan Petaling Jaya.

Penganjuran program ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan, bertepatan dengan saranan Teras Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor juga katanya akan melibatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dalam memastikan penglibatan belia secara aktif dalam program kemasyarakatan, sekali gus menjayakan Program Ceria Atlet Selangor 2020.

“Selain YAKEB dan PeBT, agensi lain yang terlibat untuk menjayakan program ini termasuk UPEN, Majlis Sukan Negeri Selangor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor serta Lembaga Zakat Selangor.

“Ia merupakan satu inisiatif untuk menzahirkan tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap nasib bekas-bekas atlet dan atlet OKU Selangor.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan dan pengorbanan mereka yang pernah mengharumkan nama negara, khasnya Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast