Nadia Aziz

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO Pembela dipanggil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Selangor untuk prosedur siasatan berhubung aduannya terhadap salah laku Pertubuhan Dong Zong.

Nadia Aziz dari Bahagian Undang-Undang NGO itu berkata, aduan dibuat berkenaan satu kongres yang dianjurkan Dong Zong, menentang pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah aliran jenis kebangsaan sama ada SJK (Cina) atau SJK (Tamil).

Katanya, kongres itu yang dijadualkan pada 28 Disember tahun lalu berjaya dibatalkan oleh polis melalui perintah mahkamah apabila mendapat tentangan hebat daripada NGO Melayu Islam.

Persidangan itu, jelas beliau, hampir mencetuskan ketegangan kaum kerana NGO Melayu Islam bercadang mengadakan perhimpunan balas di Stadium Kajang dan di hadapan bangunan Dong Zong.

“Kita telah menghantar Setiausaha Agung Armada Malaiu Malaysia (AMMAL), Nazri Che Arr untuk hadir ke pejabat RoS Selangor bagi prosedur siasatan di bawah Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966 semalam,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Menurut Nadia, AMMAL membuat aduan selepas Dong Zong menunjukkan sikap menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka juga cuba mengaitkan pengajaran tulisan Jawi ini dengan cubaan kononnya untuk menyebarkan ajaran Islam kepada murid-murid SJKC dan SJKT itu.

“Penentangan Dong Zong ini dianggap satu bentuk pelanggaran undang-undang yang sangat ketara kerana tulisan Jawi dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

“Selain itu, keputusan Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang dalam kes permohonan Semakan Kehakiman Dominic Lau Hoe Chai vs Maszlee Bin Malik juga memutuskan bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, selain tulisan Jawi, Dong Zong juga sentiasa menentang peningkatan tahap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di SJKC.

Hal itu bersumberkan dari penerangan Dr. Teo Kok Seong sendiri yang terlibat langsung dalam banyak siri proses rundingan untuk meningkatkan jam pengajian bahasa Melayu di SJKC.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh Dong Zong dan perbuatan itu jelas bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Nadia turut menyenaraikan salah laku Dong Zong apabila pertubuhan rasis itu sentiasa menentang apa jua Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan kaum melalui sekolah satu aliran menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar sejak 60 tahun lalu.

Antara yang ditentang pertubuhan Cina itu ialah, Penyata Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952, Kertas Putih Pelajaran 1954, Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, mengetuai gerakan Universiti Merdeka 1968 dan 1969, menentang arahan membatalkan UEC pada 1975, menuntut penubuhan Universiti Merdeka dari Yang di-Pertuan Agong pada 1978, dan mencabar tindakan Yang di-Pertuan Agong menolak penubuhan Universiti Merdeka di mahkamah pada 1980.

Pertubuhan itu juga turut menentang Dasar Kebudayaan Negara pada 1983, menentang Rancangan Sekolah Integrasi pada 1985, menentang lantikan guru tidak berbahasa Cina pada 1987, menghidupkan semangat Universiti Merdeka yang ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan mahkamah dengan menubuhkan New Era College di tapak yang dimaksudkan untuk penubuhan Universiti Merdeka pada 1998.

“Jadi, suatu yang amat menghairankan bagi NGO Melayu Islam, apabila semua salah laku Dong Zong ini dibiarkan tidak diambil tindakan oleh ROS, sedangkan jelas aktiviti mereka melanggar peruntukan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.

“RoS diberi kuasa oleh Seksyen 2A ini untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang mana aktiviti dan hal ehwal pertubuhan ini didapati tidak selaras dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri serta bertentangan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia dan pengunaan Bahasa Kebangsaan bagi maksud rasmi.

“Berikutan salah laku Dong Zong ini boleh menganggu gugat ketenteraman kaum di Malaysia, kami menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan dengan mengeluarkan satu perintah untuk mengharamkan Pertubuhan Dong Zong ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.