Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bergambar kenangan selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 dan Pelancaran Garis Panduan Pengiklanan Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan kejadian keracunan makanan yang dilaporkan di negara ini masih terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan data KKM menunjukkan berlaku kenaikan kes keracunan makanan kira-kira 3.2 peratus di negara ini setakat tahun lalu.

“Kejadian keracunan makanan dilaporkan pada 2019 menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 3.2 peratus, daripada 500 episod kepada 516 episod keracunan makanan di seluruh negara bagi tempoh sama pada 2018.

“Daripada jumlah itu, 150 episod keracunan makanan dilaporkan melibatkan sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sebanyak 66 episod pula di sekolah bukan KPM, 132 episod di institusi dan 18 di premis luar,” katanya berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 bersama Pelancaran Garis Panduan Pengiklanan Makanan di KKM, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKM (Pengurusan) Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Chong Chee Keong dan Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti.

Selain itu, kejadian keracunan makanan juga sering dikaitkan dengan makanan yang sedia dimakan yang dibeli dari outlet jualan makanan seperti restoran, gerai makanan dan makanan yang disediakan oleh katerer.

Bagi tujuan itu KKM telah menyediakan garis panduan keselamatan makanan bagi makanan yang dijual secara dalam talian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 dan Pelancaran Garis Panduan Pengiklanan Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 03 SEPTEMBER 2020

“Garis panduan ini menyediakan keperluan keselamatan makanan di semua peringkat khususnya untuk makanan yang dipasarkan secara dalam talian melalui media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Facebook dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Adham juga mendedahkan banyak pengiklanan makanan yang ada kalanya mengelirukan orang ramai untuk memilih makanan yang selamat.

“Bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020, KKM melancarkan garis panduan pengiklanan makanan.

“Garis panduan ini adalah sebagai rujukan kepada pengiklan, pengeluar dan penjual makanan. Ini adalah selaras dengan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette