KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua jam tersebar berita bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dipecat, Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tampil memaklumkan bahawa perkara itu masih belum diputuskan.
Malah, Pengerusinysa, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata Osman, masih lagi ahli parti itu.
Katanya, parti akan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak minggu lalu.
“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita kena memberi keutamaan kepada rakyat.
“Buat masa ini, kita akan memanggil Osman supaya menghadap lembaga disiplin parti dalam tempoh terdekat. Kita akan mengeluarkan surat kepada beliau dan memberinya tempoh seminggu,” katanya memetik laporan BH Online.
Terdahulu, Megat Najmuddin dalam satu kenyataan berkata keahlian Osman telah tergugur secara automatik.
Ia berikutan tindakan Osman yang membantu kempen calon bebas pada PRK DUN Slim pada 29 Ogos lalu.
Artikel berkaitan: Osman Sapian digugurkan ahli Bersatu
“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik/serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.
“Tak perlu didakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha Agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya.
Pada PRK DUN Slim, Osman didakwa turun berkempen membantu calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dakwaan itu berikutan penularan video memaparkan Osman dipercayai sedang berucap dalam kempen calon Bebas berkenaan di Slim. – MalaysiaGazette
Hehe..