KUALA LUMPUR – Petronas mungkin tidak mampu membayar dividen sebanyak RM24 bilion seperti yang diumumkan awal tahun ini apabila merekodkan kerugian bersih sebanyak RM16.5 bilion pada separuh pertama 2020 akibat penurunan pendapatan dan rosot nilai.
Tanpa menyebut angka yang tepat, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pembayaran dividen kepada kerajaan pada tahun ini adalah tertakluk kepada kemampuan syarikat tersebut.
“Kami merupakan penyumbang terbesar kepada pakej rangsangan kerajaan.
“Kami masih belum membawa perkara ini kepada ahli lembaga pengarah
“Tetapi Pengerusi saya baharu sahaja memberitahu (ketika sidang media sedang berlangsung), pembayaran dividen tahun ini adalah tertakluk kepada kemampuan Kumpulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan prestasi kewangan Petronas separuh pertama 2020 di sini hari ini.
Pada Januari lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas (ketika itu) Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, syarikat petroleum itu akan membayar dividen sebanyak RM24 bilion pada tahun ini.
Jelas Tengku Muhammad Taufik, jumlah RM24 bilion itu adalah bersandarkan kepada harga minyak mentah tahun lepas.
Petronas merekodkan kerugian bersih RM16.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2020 berbanding untung bersih RM28.9 bilion tempoh sama tahun lalu.
Ini merupakan kerugian pertama yang dicatatkan syarikat petroleum negara itu sejak ditubuhkan.
Kerugian tersebut didorong terutamanya oleh kemerosotan perolehan sebanyak 23 peratus kepada RM93.6 bilion serta rosot nilai.
Tengku Muhammad Taufik berkata, syarikat tersebut terpaksa berdepan dengan tempoh paling mencabar pada separuh pertama tahun ini.
“Kami menjangkakan prestasi Petronas akan terus terjejas akibat ketidaktentuan disebabkan oleh pandemik Covid-19,” katanya lagi.
Tambahnya, sekiranya tanpa rosot nilai Petronas masih mampu merekodkan keuntungan sebanyak RM7.7 bilion.
Bagi suku kedua 2020 berakhir 30 Jun, Petronas merekodkan kerugian bersih sebanyak RM21 bilion berbanding untung bersih RM14.7 bilion tempoh sama 2019.
Kerugian disebabkan oleh pendapatan yang rendah serta rosot nilai.
Untuk rekod, purata harga minyak mentah Brent pada separuh pertama 2020 adalah RM39.73 setong berbanding RM66.02 setong tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette
Ramai menyangka SUNSHINE hanya kurus kering dikerjakan Pakatan Hancing, rupa2nya sekarang tengah nazak?
Habis dijarah umno.. Hidup melayu.. Kohkohkoh… PN amik alih hbis dirembtnya… Bagero betol
Kalau banggang tak payah buat tuduhan bodoh. EXXONMOBIL pun dikeluarkan dari indeks Dow Jones… Itu kompeni minyak terbesar oiiii….