Orang ramai beratur untuk menadah air bersih menerusi lori tangki yang disediakan Air Selangor di Shah Alam, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam semalam secara berperingkat, kata Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri.

Beliau berkata, keempat-empat LRA itu mengambil masa selama kira-kira 10 jam untuk aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian.

Ini katanya, merupakan proses rawatan supaya dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter, yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi ini, sebelum diagihkan kepada pengguna.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Menurut Elina, Air Selangor juga terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sungai Tinggi (800 JLH), HORAS (150 JLH) dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 582 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi empat LRA itu yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum 2,850 JLH.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan bekalan air dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, kata beliau, Air Selangor telah mendapat bantuan sembilan lori tangki dari operator air negeri seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (SAJ).

“Lori tangki ini akan membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas, manakala bantuan bekalan air kecemasan yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain.

“Kita juga menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter kepada pengguna yang terjejas,” kata beliau.

Empat LRA itu ditutup sejak kelmarin berikutan berlaku pencemaran di muka sauk Sungai Selangor akibat perbuatan sebuah kilang membuang sisa pelarut ke dalam sungai itu menyebabkan berlaku gangguan bau.

Menurut Elina lagi, pihaknya juga akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.