Gambar Hiasan. foto NOOREEZA HASHIM, 21 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengakibatkan aktiviti harian jutaan rakyat terjejas semakin mendedahkan kelemahan pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar.

Kegagalan itu menjejaskan imej negara yang sedang berusaha menarik para pelabur untuk merangsang ekonomi negara.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, kerajaan negeri dan Pusat, termasuk syarikat perbekalan air nasional kena betindak mengehentikan kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akibat gangguan bekalan air tidak berjadual yang mana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menyalurkan belakan air kepada 26 peratus darpada jumlah pebnduduk negara.

“Menurut Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Wilayah Persekutuan dan Selangor mencatatkan jumlah gangguan air paling tinggi untuk tempoh 2014 hingga 2018.

“Perangkaan tersebut menunjukkan Selangor berada paling atas dalam senarai gangguan bekalan air tidak berjadual yang merangkumi separuh daripada insiden seluruh negara setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Solomon, selain daripada masalah paip usang pecah, pencemaran merupakan salah satu faktor terburuk gangguan bekalan air dan punca utamanya disebabkan oleh kilang-kilang haram dan pembuangan sisa secara haram.

Jenis pencemaran adalah pelbagai, daripada pembuangan sisa sampah di lokasi masuk air mentah sebelum air itu dirawat di loji rawatan air, tumpahan minyak dan pembuangan air kumbahan yang tidak dirawat selain pembuangan sisa cecair, ujarnya.

Tambah beliau, ia boleh menyebabkan peningkatan tahap amonia yang tidak cukup untuk dicairkan semasa paras air rendah di sungai.

Solomon berkata, berjuta-juta ringgit dibazirkan berikutan gangguan bekalan air yang mana banyak pekerja terpaksa mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.

Ia bagi memastikan mereka mendapatkan air untuk kegunaan anak mereka yang bersekolah dan ahli keluarga lain, khususnya perlu membersihkan diri beberapa kali ketika pendamik Covid-19 masih menular, ujarnya.

Selain itu katanya, banyak pengendali perniagaan makanan kecil terkesan yang menyebabkan timbul masalah kebersihan.

Ketika pendamik Covid-19, masalah timbul apabila pekerja perlu kerap membasuh tangan, ujarnya.

Menurut Solomon, apa yang mengecewakan ialah mereka didapati telah melakukan pencemaran berulang kali, selepas didenda RM60,000 untuk kali pertama beberapa tahun lalu.

“Persoalannya bagaimana pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen dan pegawai penguatkuasa membenarkan kilang ini tertus membuang bahan buangan ke dalam sumber air mentah rakyat?

“Mereka gagal memantau kilang ini dan kilang lain yang terletak berhampiran yang boleh membuang bahan buangan tanpa disedari,” katanya.

Jelas Solomon, loji rawatan air mentah yang menggunakan peralatan berat perlu kerap diperiksa dan dipantau pihak berkuasa bagi memastikan air selamat digunakan selain  meminimumkan gangguan bekalan air.

Sementara itu, Solomon menyarankan pemimpin negeri perlu mengubah sikap semua agensi jika Malaysia mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.

Katanya, jika agensi pengutkuasaan tidak memeriksa premis perniagaan dan mengamalkan pilih bulu semasa melakukannya maka keadilan tidak berikan kepada pembayar cukai.

Jelas beliau, diskriminasi seperti itu akan memberi ruang kepada trend tidak sihat yang akan memusnahkan kredibiliti negara.

“Cukup cukuplah! Rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan ketidakprihatinan pengurusan yang menyebabkan gangguan kepada kehidupan pekerja.

“Rakyat yang merupakan pengguna dalam negara ini sepatutnya tidak bertolak ansur lagi terahadap gangguan bekalan air tidak berjadual dan mereka sepatutnya diberi diskaun sebagai pampasan ke atas kesulitan yang dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette