Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan pasaran bon domestik berada dalam keadaan teratur, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengambil bahagian dalam pembelian bon dalam pasaran sekiranya diperlukan dan dalam keadaan tertentu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Secara keseluruhannya, langkah ini telah menambah mudah tunai sebanyak RM54 bilion dalam sistem perbankan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Senator Alan Ling Sie Kiong (PH-DAP) yang ingin tahu mengenai teknik atau mekanisme dasar fiskal dan monetari yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan untuk mengawal ekonomi negara selepas penularan wabak COVID-19.

Bagi mengekang kesan penularan Covid-19, katanya kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal mengembang dengan memperkenalkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi komprehensif bernilai RM295 bilion atau 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dasar fiskal ini melibatkan suntikan fiskal langsung berjumlah RM45 bilion atau tiga peratus daripada KDNK, katanya.

Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) turut bertujuan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan dalam menangani COVID-19 serta meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, membantu perniagaan dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Dari segi dasar monetari, antara langkah yang telah dilaksanakan oleh BNM ialah menurunkan kadar nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas daripada tiga peratus kepada dua peratus pada Mac dan Mei 2020,” katanya.

Institusi perbankan juga diberikan fleksibiliti melalui pengiktirafan Sekuriti Kerajaan Malaysia dan terbitan pelaburan Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

BNM juga telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas daripada tiga peratus kepada 1.75 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2020. – MalaysiaGazette