KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak amatur, Kerteh FC mencipta sejarah apabila memeterai perjanjian kerjasama dengan UE Sant Andreu yang merupakan sebuah pasukan di Barcelona.

Berita itu diumumkan oleh Kerteh FC menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook rasmi kelab juara berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019 itu.

UE Sant Andrue beraksi dalam kempen Tercera Division yang merupakan liga divisyen keempat dalam sistem bola sepak di Sepanyol.

Susulan kerjasama strategik itu, Kerteh FC bakal menikmati faedah dari aspek perkembangan pelatih kelab tersebut serta dalam menambah baik perkembangan struktur organisasi kelab dalam menjadi sebuah pasukan yang lebih berdaya saing.

Tidak keterlaluan juga untuk diperkatakan, kehadiran Oscar Riera yang bertindak selaku Penasihat Teknikal pasukan menjadi tunjang kepada wujudnya kerjasama bermakna ini.

“UE Sant Andreu menyokong matlamat kami untuk menjadi tempat mengembangkan bakat pemain bola sepak dan mereka yang mempunyai cita-cita beraksi dengan cabaran yang baru.”

“Kami gembira dengan kerjasama yang terjalin ini kerana ia sekali gus dapat memasarkan jenama kami di peringkat antarabangsa, khususnya di Sant Andreu.

“Terima kasih kepada Penasihat Teknikal kami, Mr. Oscar Riera yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha ini. Tanpa pengalaman, pengetahuan serta hubungan luas beliau, mustahil perkara ini menjadi kenyataan,” ujar Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim.

Meskipun hanya bergelar pasukan komuniti, langkah proaktif yang diambil pengurusan tertinggi Kerteh FC itu membuktikan mereka memiliki visi amat besar dalam menjadikan kelab tersebut sebagai salah sebuah pasukan dengan reputasi hebat.

Ia membuktikan Kerteh FC bukan sekadar menuntut para pemain mereka beraksi cemerlang di atas padang tetapi pihak pengurusan juga memainkan peranan penting apabila merancang serta melaksanakan setiap inisiatif dengan cukup profesional. – MalaysiaGazette