lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 12.30 tengah hari ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 973 kawasan telah pulih sepenuhnya daripada masalah bekalan itu manakala 319 kawasan pula masih lagi dalam proses pemulihan.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor,  Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, kira-kira 75.31 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ituu telah pulih sepenuhnya.

“Terdapat 55 kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan 1 yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam pada 7 September 2020.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter rasmi Air Selangor hari ini.

Sebelum ini, Air Selangor terpaksa melakukan menghentikan tugas ke atas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada 3 September laku berikutan pencemaran di muka sauk loji-loji berkenaan.

Pencemaran sumber air mentah LRA terbabit disyaki berpunca daripada tindakan premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melepaskan sisa seakan pelarut ke sungai.

Air Selangor juga menasihatkan pengguna agar tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan.

“Ia bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, kawasan Hulu Selangor telah pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air tidak berjadual dengan peratusan 100 peratus.

Ia disusuli dengan kawasan Kuala Selangor (99.25%), Petaling (92.43%), Gombak (76.64%), Kuala Lumpur (52.63%), Kuala Langat (50%) dan Klang/Shah Alam (38.42%).

Air Selangor juga menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berkaitan dengan ini.

“Para pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

“Pihak kami mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette