Pemain Malaysia, Sumareh (kiri) dan pemain Timor Leste, Candido Monteiro cuba mendapatkan bola pada perlawanan aski pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 diantara pasukan Timor Leste menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kelab Police Tero FC secara rasmi mengumumkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain baharu mereka untuk mengharungi saingan Thai League musim 2020/21 yang akan bersambung semula beberapa hari lagi.

Pengumuman itu dibuat di media sosial kelab itu sambil Sumareh membuat ucapan untuk bertemu penyokong Police Tero di Bangkok dalam masa terdekat ini.

Sumareh sebelum ini dikaitkan dengan tindakan mengaktifkan klausa 8.7 yang mengakibatkan kontraknya bersama Pahang telah terbatal selepas pasukan tersebut dikatakan gagal membayar gaji mengikut perjanjian ditetapkan kedua-dua pihak.

Dengan penyertaan Sumareh, kelab Police Tero FC kini mempunyai dua orang pemain dari Malaysia selepas Dominic Tan.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan tiga pemain negara kini beraksi dalam saingan Thai League 1 musim ini apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo juga beraksi dengan kelab BG Pathum United. – MalaysiaGazette