Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman bersama rampasan dadah dari dua lelaki di klia2 hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki dari Sabah disyaki ahli sindiket dadah yang cuba menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sarawak menerusi ruang udara ditahan polis.

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu sanggup terbang dari Sabah ke Semenanjung terlebih dahulu untuk mendapatkan bekalan dadah itu untuk diseludup ke Miri.

Bagaimanapun percubaan mereka mengaburi penguat kuasa gagal apabila ditahan di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, polis berjaya merampas dadah bernilai RM204,200 daripada mereka.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA kira-kira jam 10.15 pagi.

“Pemeriksaan pada beg bimbit salah seorang suspek polis turut menemui satu bungkusan teh disyaki mengandungi dadah ketamin seberat kira-kira satu kilogram bernilai RM57,200.

“Turut dirampas dari suspek sejumlah wang tunai RM9,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Imran, siasatan susulan terhadap suspek juga berjaya membawa polis kepada rampasan beg galas milik salah seorang suspek berisi empat bungkusan teh disyaki mengandungi dadah syabu dianggar seberat 4.2 kilogram (kg) bernilai RM147,000 di ruangan kargo dalam kapal terbang.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek masing-masing itu tiba beberapa hari sebelum mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang.

Ujar beliau, polis juga percaya kedua-dua suspek berkenaan adalah melibatkan sindiket dadah yang sama.

“Kedua-dua suspek kini telah direman tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang dan ahli sindiket lain yang terlibat dalam kejadian ini.

“Polis akan terus melaksanakan operasi berterusan untuk membanteras kegiatan sindiket dadah secara berterusan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette