Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercakap kepada media selepas hadir pada majlis perjumpaan bersama guru-guru besar, guru-guru dan imam-imam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Masjid Jamek, Kampung Bantayan Semporna. foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sabah dalam situasi pendemik Covid-19, kerajaan negeri akan mengedarkan 10 juta pelitup muka bagi diedarkan di seluruh negeri.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, ia bagi memastikan semua pengundi terpelihara daripada dijangkiti Covid-19 sepanjang kempen PRN Sabah bagi akan bermula esok.

“Untuk pelitup muka kita bekalkan hampir 10 juta di seluruh Sabah dan diedarkan kepada masyarakat dan pimpinan kampung malahan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita bekalkan dengan pelitup dan cecair tangan supaya kita dapat basmi jangkitan dan mudah untuk Covid-19 kerana ia bukan satu penyakit yang harus diambil ringan. Ia boleh menjelaskan kesihatan dan nyawa kita.

“Awal daripada itu 5 juta sudah saya edarkan kepada sekolah dan supermarket. Kerana saya sedari kadang-kadang ada kampung susah nak beli pelitup muka,” katanya kepada media selepas menghadiri program ramah mesra bersama guru besar dan imam-imam di Masjid Jamek Kampung Bantayan, hari ini.

PRN Sabah akan bermula esok dengan proses penamaan calon dan 14 hari berkempen sebelum proses pengundian pada 26 September depan.

Dalam pada itu, Shafie berkata, rakyat Sabah tidak perlu risau akan pendemik Covid-19 kerana ia telah dizonkan serta dikawal oleh pihak berkuasa.

Malah katanya, ada beberapa pendatang yang dipercayai positif Covid-19 telah berjaya dikesan dan diasingkan daripada menjangkiti orang lain.

“Setakat ini terkawal biarpun jumlahnya mendadak seperti itu tapi ianya hanya kawasan penjara sahaja.

“Kita telah kenalpasti 15 orang PATI itu dan kita sudah dapat dan kuarantin mereka supaya tidak mahu mereka berlegar dan ada kontak dengan penduduk setempat,” katanya.

Sehingga semalam, 83 kes dikesan positif Covid-19 di Tawau melibatkan Kluster Benteng LD. – MalaysiaGazette