Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Julai 2020 berkembang sebanyak 1.9 peratus kepada RM119.3 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala bagi perbandingan bulanan, nilai jualan meningkat 2.1 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahun ke tahun dan peningkatan yang direkodkan bagi nilai jualan pada bulan Julai 2020 adalah didorong oleh peningkatan dalam Produk Makanan, Minuman & Tembakau (24.9%), Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (14.3%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (8.4%).

Sementara itu, subsektor yang menyokong pertumbuhan bulan ke bulan adalah Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (11.8%), Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & Produk Logam yang Direka (8.0%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (3.9%)

“Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Julai 2020 adalah seramai 2,192,260 orang, berkurang 2.4 peratus berbanding 2,246,595 orang pada Julai 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,090.9 juta, merosot sebanyak 3.2 peratus atau RM236.7 juta pada Julai 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 4.5 peratus kepada RM54,403 berbanding bulan yang sama tahun 2019. Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,235 pada bulan Julai 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast