KUALA LUMPUR – Dunia kewartawanan hari ini boleh hilang relevannya sekiranya pengamal media masih gagal bersaing dengan dunia luar yang menggunakan laman media sosial untuk menyampaikan maklumat.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sekiranya pendekatan yang diambil oleh wartawan profesional tiada bezanya dengan masyarakat luar, mereka kelak sukar bersaing dengan dunia maklumat yang kian mencabar.
“Hampir semua orang boleh tulis berita dan rencana tanpa batasan boleh dikongsi di mana saja, ini cabaran baru bidang kewartawanan bagaimana bersaing dengan dunia yang mencabar hari ini.
“Sekiranya pendekatan yang diambil oleh wartawan profesional tiada punya perbezaan dengan masyarakat di luar sana, macam mana nak bersaing dan hari ini pun cukup sengit.
“Kalau tak berlaku sesuatu, persaingan di luar sana boleh mencabar kerelevenan kewartawanan hari ini,” katanya berucap merasmikan Malam Wartawan Malaysia 2020 di Hotel Majestic, malam ini.
Dalam pada itu, wartawan juga diminta mempertahankan etika kewartawanan ketika menghasilkan berita mahupun rencana bagi memastikan maklumat yang dihidangkan kepada masyarakat itu benar dan berasas.
“Amat penting dunia kewartawanan terus pegang nilai teras untuk memastikan rakyat boleh berpegang kepada berita ditulis dan info yang dianalisa.
“Yang penting kesahihan maklumat yang ada itu jadi kelebihan kepada wartawan dan ia jauh lebih tinggi.
“Etika kewartawanan perlu terus dipegang dan tulisan hari ini berbeza dengan 80-an dari segi penggunaan tatabahasa dan nahu, ia cukup berbeza.
“Tokoh (wartawan) kita dulu teliti pilih perkataan, saya harap kita pastikan kualiti ini dipertahankan, sedar atau tidak sumbangan kewartawanan cukup besar kepada negara dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Sementara itu, dunia kewartawanan kini dan 20 tahun lalu jauh berbeza malah kini ia menjadi perhatian melalui tajuk dan berita yang menarik hingga mendapat perkongsian yang ramai.
“Masyarakat hari ini membaca berita ambil dari tajuk sahaja dan kongsi tajuk sahaja tanpa membaca keseluruhannya. Wartawan cara penulisannya boleh jadi sumber komoditi ekonomi baharu, bagaimana untuk tarik pembaca,” katanya.
Mohd Radzi turut memohon jasa baik wartawan untuk membantu beliau menghasilkan laporan pendidikan dari lensa yang positif.
“Sistem pendidikan ada asas yang baik, tapi kadang-kala suatu isu dilihat tidak positif, ia jadi polemik dan tidak produktif.
“Bantu saya pemberitaan dilihat positif bentuk ekosistem pendidikan yang hebat dan boleh lahir generasi pewaris mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette