Shahril Sufian Hamdan

KOTA KINABALU- Isu calon Ketua Menteri Sabah sepatutnya dibincangkan selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Walaubagaimanapun beliau berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi penjelasan jika kenyataan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mencadang Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri disalahtafsir dan tidak dilaporkan dengan tepat oleh media.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepatutnya perkara itu diputuskan oleh pimpinan BN Sabah.

“Selepas laporan tersebut ramai pemimpin UMNO termasuk Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) memberi penjelasan bahawa calon Ketua Menteri hanya akan dipilih dalam kalangan ADUN-ADUN yang menang. Andai kata GRS menang, maka yang menang sudah tentu kita harapkan ramainya datang dari Barisan Nasional itu lah yang akan menentukan siapa Ketua Menteri. Selama ini itulah dipersetujui.

“Kalau perkara itu disalahtafsir atau media salah lapor saya harap Bersatu memberikan kenyataan yang serupa untuk menyatakan ini bukan apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri.

“Lepas habis PRN biarlah kita bincang siapa paling sesuai untuk memimpin Sabah tapi perkara ini pemimpin-pemimpin BN Sabah yang menentukan kami dari Semenanjung dan parti-parti dari Semenanjung nak menekankan bahawa Presiden parti dan kepimpinan pusat tidak pernah bersetuju menamakan mana-mana calon apatah lagi calon dari Bersatu,” katanya selepas Melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat bagi N.17 Darau.

Hari ini Muhyiddin dilaporkan berkata Hajiji yang merupakan  Pengerusi Bersatu Sabah dan juga calon DUN Sulaman akan dilantik Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah menang dalam Pilihan Raya Negeri pada 26 September ini.

Mengulas lanjut, Shahril menyifatkan adalah mustahil untuk BN dan Bersatu meletakkan calon Ketua Menteri Sabah berasingan    kerana Muhyiddin sendiri telah mengumumkan mereka kini sebagai Gerakan Rakyat Sabah.

“Bagi saya tidak boleh begitu, kita masuk dalam satu bentuk kerjasama jadi macam mana pula dalam satu blok Gabungan Rakyat Sabah yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Tidak akanlah kedua-dua kita dalam Gerakan Rakyat Sabah meletakkan calon masing-masing,” katanya lagi. -MalaysiaGazette