Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan usaha menyokong pasaran kerja dalam mengekal dan mewujudkan pekerjaan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, pelaksanaan program subsidi upah, program pengekalan pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja di bawah Prihatin dan Penjana sedikit sebanyak menyumbang kepada kadar pengurangan pengangguran ini.

”Kerajaan sedar bahawa isu sistemik seperti underemployment, capaian keselamatan sosial, serta penyertaan wanita, OKU dan belia perlu ditangani dari segi jangka panjang. Sehubungan itu, kerajaan sentiasa memantau keadaan dan bersedia mengambil tindakan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengeluarkan laporan terkini memaklumkan kadar pengangguran terkini telah berkurangan kepada 4.7% pada bulan Julai, berbanding 5.3% pada bulan Mei dan 4.9% pada bulan Jun.

Tengku Zafrul berkata, indikator ekonomi terkini yang lain juga mencerminkan keadaan ekonomi yang sedang pulih secara beransur, seperti nilai jualan yang kembali kepada pertumbuhan positif iaitu 1.2% pada bulan Julai sejak Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, beliau memberitahu, kerajaan komited untuk memastikan aspek kelestarian diberi penekanan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Hala Tuju Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2030 (Malaysia Lestari 2030) tercapai, sekaligus memenuhi beberapa matlamat United Nation Sustainable Development Goals (UN SDGs) dalam jangka masa sederhana dan panjang.

”Baru-baru ini juga, kita telah saksikan lebih 1,200 kawasan di Lembah Klang telah terputus bekalan air susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. Impaknya bukan sahaja dari segi sosial, iaitu ancaman ke atas nyawa dan kehidupan, tetapi juga dari segi ekonomi

”Kebarangkalian kemunculan virus dan wabak penyakit baru juga berkait dengan alam semula jadi. Covid-19 yang dipercayai berpunca daripada hidupan liar telah meninggalkan impak yang mendalam ke atas nyawa dan ekonomi seluruh dunia,” ujarnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak boleh mengambil ringan atau menangguh lagi usaha untuk hidup secara lestari.

Buat masa ini, pengukuran pencapaian sesebuah perniagaan tidak mengambil kira impak atau kos kepada alam sekitar dan masyarakat secara holistik, oleh itu, kesedaran perkara ini masih rendah dan perlu ditingkatkan.

Perniagaan lestari juga harus dirancang secara strategik dan dilaksanakan bagi mewujudkan nilai kepada semua pihak berkepentingan – daripada pelanggan kepada pembekal di peringkat kepenggunaan, hinggalah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa di peringkat global.

”Jika kita dapat mengubah pendekatan perniagaan, kita akan mampu menyelesaikan isu-isu kritikal dunia, selaras dengan tuntutan UN SDG, dan pada masa yang sama memastikan perniagaan tetap meraih keuntungan berterusan dalam jangka masa panjang.

”Bagi mentakrifkan semula hubungan sosio-ekonomi manusia dan alam sekitar, kita mesti menerapkan kelestarian dalam pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

”Kerajaan akan mengkaji perkara ini dari segi perundangan, dasar, pendidikan dan program kesedaran, bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” tambahnya. – MalaysiaGazette