Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tinggi minggu depan, disokong oleh data eksport yang lebih baik.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, ini berdasarkan data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA), yang menunjukkan pertumbuhan pengeluaran pada 1-10 Sept sebanyak 7.81 peratus merupakan peningkatan yang perlahan berbanding 14.18 peratus pada 1-5 Sept.

“Bagi minggu depan, antara data penting yang perlu dipantau ialah data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat pada September,” katanya kepada Bernama.

Sathia berkata, pasaran akan mengalami minggu dagangan yang pendek pada minggu depan, berikutan ia akan ditutup pada 16 Sept sempena cuti Hari Malaysia.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata, pasaran niaga hadapan MSM dijangka diniagakan rendah dalam julat antara RM2,600 dan RM2,700 satu tan minggu depan berikutan permintaan yang lembap selain menjejaki pasaran minyak mentah.

Beliau berkata, permintaan daripada pengimport utama seperti China, India dan Pakistan dijangka rendah berikutan aktiviti simpanan stok yang perlahan.

“Selain itu, kebanyakan saham perladangan dalam pasaran ekuiti menunjukkan aliran penurunan, yang kami yakin merupakan masa untuk aktiviti pengambilan untung terutamanya oleh pelabur runcit, berdasarkan pasaran saham menawarkan keuntungan yang lebih cepat berbanding deposit tetap.

“Secara keseluruhannya, pasaran minyak sawit telah mencatatkan prestasi yang baik berbanding komoditi lain, walaupun sektor itu berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan pengeluaran MSM pada September akan meningkat 4.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.95 juta tan berikutan industri yang memasuki tempoh pengeluaran kemuncak.

Ia turut mengunjurkan eksport yang lebih tinggi kepada 1.63 juta tan, naik 3.1 peratus bulan ke bulan, menjelang pesta pertengahan musim luruh dan perayaan Deepavali.

“Secara keseluruhannya, kami menjangka jumlah penawaran sebanyak 2.0 juta tan akan mengatasi jumlah permintaan sebanyak 1.95 juta tan, membawa kepada stok akhir yang lebih tinggi sebanyak 1.74 juta tan atau 2.6 peratus lebih tinggi bulan ke bulan,” katanya dalam nota.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah, menjejaki pergerakan harga minyak kacang di Lembaga Perdagangan Chicago dan Bursa Komoditi Dalian, dan pergerakan minyak mentah serta ringgit berbanding dolar US.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk September 2020 merosot RM52 kepada RM2,880 satu tan, Oktober 2020 susut RM31 kepada RM2,861 satu tan, November 2020 jatuh RM24 kepada RM2,811 satu tan dan Disember 2020 berkurangan RM19 kepada RM2,778 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 246,479 lot daripada 213,212 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 233,229 kontrak daripada 238,535 kontrak pada minggu sebelumnya.

Di pasaran fizikal, September Selatan merosot RM30 kepada RM2,890 satu tan. – MalaysiaGazette