Seorang penduduk menghiasi Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Presint 8, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK

KEPELBAGAIAN etnik, kaum, agama, budaya, ideologi, dan demografik adalah hal yang signifikan untuk menyatakan identiti yang wujud pada Malaysia. Inilah kelebihan. Inilah keunikan yang dimiliki oleh Malaysia.

Meskipun banyak perkara yang kontras dalam kalangan warganegaranya; Malaysia tetap aman tanpa sebarang episod berdarah yang mega dan leluasa. Hal ini disumbang oleh faktor
kebijakan pentadbiran dan permuafakatan politik rentas kaum dan ideologi yang diamalkan semenjak sebelum tarikh keramat 31 Ogos 1957 lagi.

Namun begitu, eloklah disingkapi dahulu sejarah tertubuhnya persekutuan yang diberi nama sebagai Malaysia ini. Nama Malaysia bukanlah lahir daripada ruangan vakum tanpa sebarang
latar yang menunjanginya. Tentunya ada ceritanya yang tersendiri dan perlu digali oleh setiap warganegara yang bermastautin di tanah bertuah ini.

Penubuhan sebuah negara Malaysia bermula pada 17 Januari 1962 apabila ditubuhkan sebuah suruhanjaya yang berfungsi untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri yang terlibat
dalam langkah pembentukan sebuah persekutuan Malaysia – Suruhanjaya Cobbold.Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang anggota dan dikepalai oleh Lord Cobbold. Referendum ini bermula dari bulan Februari hingga April pada tahun yang sama. Hasil
dapatan daripada pungutan suara tersebut menatijahkan majoriti (80%) bersetuju dengan pembentukan gagasan itu dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada
kerajaan British.

Seterusnya, gagasan ini telah dipersetujui oleh beberapa negeri anggota seperti Singapura, Sabah dan Sarawak. Ringkasnya, pada 16 September 1963 aspirasi penubuhan sebuah
persekutuan yang bernama Malaysia telah menjadi kenyataan dan kemudiannya diisytiharkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pun begitu, dalam pada kemanisan persepakatan ekonomi dan politik antara negeri-negeri yang terlibat, wujud beberapa cabaran yang menghambat keutuhan koalisi yang terjalin.
Contohnya pada tahun 1965, Singapura telah menarik diri daripada Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara republik. Hal ini timbul ekoran daripada beberapa masalah politik
dalaman yang membadai antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Maka bermulalah episod koalisi antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu hinggalah ke hari ini. Ada ketika, nama Malaysia begitu semerbak di persada antarabangsa
dan begitulah sebaliknya. Perkongsian kuasa dan ekonomi ini telah dikongsi dan dirasai oleh negeri-negeri anggota.

Sederap ke hadapan, timbul persoalan yang benar-benar mencakar minda; sejauhmanakah tahap penghayatan dalam kalangan mahasiswa terhadap penubuhan persekutuan Malaysia?
Adakah para siswa telah hanyut dibawa oleh arus deras globalisasi hingga telah memejamkan kesedaran mereka kepada asal-mulanya penubuhan persekutuan ini? Benarkah mahasiswa di negara ini telah begitu cakna dan bangga dengan sejarah penubuhan Malaysia? Atau apakah mahasiswa benar-benar menyahkan budaya penjajah daripada dada fikir mereka? Hal ini
seharusnya ditangani secara kolektif terutamanya daripada pihak mahasiswa itu sendiri apakala mereka mula melaung-laungkan berbagai tuntutan pembebasan terhadap berpatisipasi, berpolitik, berasosiasi, berkomunikasi dan lain-lain.

Wan Muhammad Zuhir Ghazali,
Setiausaha Kebolehpasaran, Kebudayaan dan Keagamaan, 
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya.