KUALA LUMPUR – Angkatan Anak Muda (Armada) menegur Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan supaya mengkaji laporan media terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut kesal meminta Shahril tidak membaca tajuk semata-mata berkaitan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam kerana apa yang dilaporkan berbeza dengan dimaksudkan Perdana Menteri.
Laporan Berita Harian memetik kenyataan Perdana Menteri seperti berikut;
“Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju, …Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah.”
Menurut Armada dalam kenyataannya, adalah jelas Perdana Menteri sekadar memberi bayangan yang ia cadangan semata-mata dan hanya boleh berlaku jika dipersetujui semua rakan gabungan termasuk BN.
Armada bagaimanapun mengambil maklum Shahril sudah menyedari kesilapannya berhubung satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya.
Shahril menerusi kenyataan semalam berkata kenyataan Muhyiddin berkaitan calon Ketua Menteri Sabah tidak dibincangkan bersama Umno dan BN.
Apa yang lebih penting, tegas Hamdan, satu perbincangan bersama perlu dilakukan bagi meleraikan isu tersebut.
Beliau bagaimanapun mengeluarkan satu lagi kenyataan apabila menyedari kenyataan Muhyiddin telah disalahtafsir dan Perdana Menteri tidak pun menetapkan calon Bersatu di DUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor adalah calon Ketua Menteri. – MalaysiaGazette
Pemimpin umno dr dulu tk berubah, bila ada sedikit kekuatan itu pun dgn bantuan pas maka mula tunjuk ego.