Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.70 Kukusan, Chaya Sulaiman bercakap kepada media ketika hadir ke ceramah Pilihan Raya 'Bossku' bersama jentera BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Command Center BN Kalabakan, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2020.

KALABAKAN – Ketua Wanita Kalabakan, Chaya Sulaiman berharap dapat melakar sejarah tersendiri dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada 26 September depan.

Sebagai satu-satunya calon wanita UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, beliau yakin mampu untuk memperoleh kemenangan.

“Saya rasa kita mampu untuk beroleh kemenangan sebab di sini majoriti adalah orang Melayu dan merupakan kerusi baharu yang ditempatkan calon wanita.

“Mudah-mudahan saya boleh cipta sejarah untuk DUN ini walaupun kedudukannya di tepi bandar tapi belum ada pembangunan yang kita nampak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Terletak di pinggir bandar Tawau, Kukusan terkenal dengan Bukit Kukusan, Kuil Thirumurugan, lokasi penanaman sayur-sayuran Hill Top, gerai buah serta kawasan Lapangan Terbang Lama Tawau.

Untuk rekod, DUN Kukusan terletak dalam Parlimen Kalabakan dengan memiliki 12,640 jumlah pengundi.

Ia sebelum ini terletak dibawah DUN Tanjung Batu sebelum persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Chaya berkata sebagai wanita, beliau akan dipilih oleh pengundi DUN Kukusan kerana dirinya senang didekati oleh pengundi selain mempunyai pengalaman lama dalam politik.

“Saya rasa sebagai wanita saya lebih dekat dengan masyarakat memandang saya sudah lama bersama mereka. Mungkin sebagai wakil rakyat nanti saya lebih aktif dan saya calon tunggal wanita dalam seluruh Sabah.

“Saya mengharapkan bila menang nanti saya dapat berbakti kepada masyarakat dan memajukan kawasan ini,” katanya lagi.

DUN Kukusan merupakan salah satu daripada 13 DUN baharu yang diwujudkan menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

N70 DUN Kukusan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Chaya Sulaiman (Barisan Nasional), Rina Jainal (Parti Warisan Sabah), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada 73, berbanding 60 ketika ini. – MalaysiaGazette