KUALA LUMPUR – Mutu pengadilan yang dianggap kurang berkualiti ketika aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin mendapat kecaman di media sosial.

Perkara itu turut mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa kualiti dipamerkan pengadil perlawanan sebagai teruk dan gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyifatkan TFC sepatutnya mendapat satu atau dua penalti dan penyerangnya, Dominique Da Sylva perlu dilayangkan kad merah.

“Tahniah Terengganu. Masa depan yang cerah buat Terengganu FC. Sikap profesionalisme yang tinggi oleh ketua pasukan dan potensi yang tinggi oleh pemain muda.

“Bukan mudah untuk JDT. Pengadil teruk dan tidak mengawal permainan dengan baik. Sepatutnya satu atau dua penalti buat Terengganu dan kad merah terhadap penyerang Terengganu yang melakukan kekasaran (mengangkat kaki) yang tinggi.

“Apa pun perlawanan sudah tamat. Tahniah kepada kedua-dua pasukan. Padang dan stadium first class. Tahniah dan terima kasih,” kata TMJ yang membuat satu komen di laman Instagram, officialterengganufc.

Antara insiden yang dianggap pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim sepatutnya memberikan sepakan penalti kepada TFC adalah ketika pemain tengah JDT, Natxo Insa mengasari Da Sylva.

Malah, beberapa pihak turut menganggap Da Sylva seharusnya dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran berbahaya apabila mengangkat kaki tinggi yang terkena bahagian dada Insa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast