NEW YORK – Sebanyak 307,930 kes jangkitan baharu koronavirus direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tempoh 24 jam.
Agensi itu berkata, jumlah kematian juga melebihi 5,500 – menjadikan kes kumulatif global sebanyak 917,417.
Lonjakan kes jangkitan tertinggi dilaporkan di India, Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.
Jumlah kes Covid-19 yang disahkan di seluruh dunia kini melebihi 28 juta dengan separuh daripadanya berlaku di Amerika.
Angka jangkitan harian tertinggi yang pernah dicatatkan oleh WHO ialah pada 6 September lalu iaitu 306,857 kes baharu.
Menurut WHO, India melaporkan 94,372 kes baharu pada hari Ahad, diikuti Amerika Syarikat (AS) 45,523 dan Brazil 43,718.
Lebih daripada 1,000 kes korban baharu direkodkan di Amerika Syarikat dan India.
Manakala angka kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 di Brazil sebanyak 874 orang dalam tempoh tersebut.
India pula adalah negara kedua terbesar dalam kes jangkitan yang disahkan, di belakang AS.
Minggu lalu, dilaporkan hampir 2 juta kes Covid-19 dikesan pada bulan lalu, bulan tertinggi sejak bermulanya pandemik.
AS juga menyaksikan purata 64,000 kes sehari – kenaikan 84% daripada purata kes harian, menurut data rasmi.
Angka kematian pula bertambah 1,000 orang setiap hari sejak awal September.
Brazil merekodkan lebih empat juta kes – ketiga tertinggi di dunia.
Malah, Brazil menyaksikan jumlah kematian tertinggi di Latin Amerika – sebanyak 131,000 setakat ini.
AS telah mencatatkan hampir satu per empat daripada jumlah kes koronavirus di dunia – dengan lebih daripada enam juta, sekaligus menyaksikan peningkatan jumlah kes harian pada bulan Julai, tetapi jumlahnya telah menurun sejak itu.
Negara ini mempunyai jumlah kematian Covid-19 tertinggi di dunia, dengan lebih daripada 194,000 kematian.
Negara-negara merentasi Eropah juga merekodkan kenaikan kes koronavirus sehari.
Kenaikan sama juga disaksikan di Peru, Israel, South Korea dan Australia. – MalaysiaGazette