Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk bergelar juara buat kali ketujuh berturut-turut CIMB Liga Super semakin sempurna apabila meraih kemenangan penting 1-0 ke atas pencabar utama, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat lalu melalui jaringan tunggal Safawi Rasid pada minit kelima.

Berbekalkan enam mata meninggalkan pencabar utama, Kedah di tangga kedua, JDT hanya kini perlu mencari minimum tujuh mata daripada baki empat perlawanan bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2014.

Namun, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora tidak mahu sudah terlalu selesa kerana apa sahaja boleh berlaku pada empat perlawanan akan datang dan sasarannya adalah cuba menang dari satu ke satu perlawanan.

Jelasnya, setiap perlawanan pasti menjanjikan kesukaran kerana semua pasukan memburu seberapa banyak mata dan tiada sebarang jalan mudah buat JDT jika mahu menggapai kejuaraan CIMB Liga Super.

“Kami hanya fikirkan dari perlawanan ke perlawanan dan cuba meraih seberapa banyak kemenangan kerana dalam ada masanya boleh berlaku kejutan tanpa diduga dalam liga.

“Dalam situasi sekarang, semua pasukan hendak menang dan itu kami perlu cuba lalui jika mahu menjuarai liga sekali lagi pada musim ini.

“Prestasi pasukan berdepan Terengganu buatkan saya cukup gembira kerana gawang kami tidak dibocori dan permainan kami baik walaupun Terengganu berjaya berikan tekanan yang cukup baik kepada kami.

“Saya juga ucapkan syabas kepada Terengganu kerana mempamerkan peningkatan berbanding musim lalu dan aksi bola sepak yang kian berkualiti, sememangnya saya berpuas hati kerana pemain saya dapat meraih tiga mata penting di laman lawan yang sukar, ” katanya kepada Malaysia Football League di sini hari ini.

JDT mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan dengan masih kekal rekod tanpa kalah dan selepas ini, skuad Harimau Selatan akan bertemu Selangor pada 19 September di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Foto Facebook FA Kedah.

Sementara itu, Kedah terus konsisten sejak CIMB Liga Super bersambung pada 28 Ogos lalu apabila meraikan kemenangan buat kali ketiga berturut-turut, kali ini menundukkan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Biarpun Syahmi Zamri meletakkan Felda di hadapan pada minit ke- 44, Kedah melakar kebangkitan pada babak kedua melalui jaringan Tchetche Kipre pada minit-47 serta Hadin Azman, di minit-66.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, memberikan pujian kepada pemainnya yang terus mrmpamerkan aksi cemerlang dalam tiap perlawanan dengan semangat berpasukan menjadi kunci di sebalik kejayaan skuad Lang Merah untuk berada di tangga kedua CIMB Liga Super.

“Saya harus berikan kredit kepada semua pemain yang bangkit di babak kedua dan mereka layak meraih tiga mata yang cukup penting pada malam ini.

“Perubahan taktikal dengan memasukkan Alex (Azamuddin Akil) di separuh masa kedua bagi memberikan banyak pilihan pada situasi serangan nyata membuahkan hasil selepas kami ketinggalan 1-0.

“Selain itu, pemain saya bijak mengimbangi corak intensiti tinggi yang diberikan Felda kerana kita tahu rata-rata mereka adalah pemain muda dan saya bangga dengan apa ditunjukkan pemain.

“Saya hanya mahu pemain berikan tumpuan dari perlawanan tiap perlawanan dan fokus utama kami adalah mengenai aksi dengan Sabah di laman sendiri, saya harap kami dapat teruskan momentum ini dan pemain nyata menunjukkan semangat yang luar biasa pada masa sekarang, ” katanya.

Di Stadium UiTM Shah Alam, pertemuan Selangor dan Melaka nyata seperti umpama buku bertemu ruas apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Melaka terlebih dahulu di hadapan melalui Uche Agba pada minit-39 sebelum Sandro da Silva pantas menyamakan kedudukan, seminit kemudian.

Perak pula akhirnya menamatkan badi kekalahan dalam dua perlawanan berturut-turut apabila menang tipis 1-0 berdepan UiTM FC di Stadium Perak, Ipoh melalui jaringan Shahrel Fikri pada minit-4.

Sementara itu, jaringan Ivan Carlos (minit 37) dan Faisal Halim(minit 74) membantu Pahang meraih tiga mata berharga dengan kemenangan 2-1 ke atas PDRM di Stadium Darul Makmur bagi menjauhi zon penyingkiran untuk berada di tangga kelapan CIMB Liga Super manakala gol saguhati pelawat disumbangkan Amir Saiful Badeli pada minit-84.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rodoljub Paunovic muncul wira Sabah apabila gol pada minit-87 menyelamatkan pasukannya daripada tewas untuk mengikat PJ City FC yang terlebih dahulu di hadapan hasil gol daripada Elizeu pada minit-51. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast