Dr. Kee menerima surat perakuan bagi menjalankan program jangka pendek CompTIA dari Hairil Izwan Isamuddin.

MANIPAL International University (MIU) Nilai, Negeri Sembilan hari ini, secara rasmi dipilih sebagai rakan akademik Competing Technology Industry Association (CompTIA) bagi melatih pelajar-pelajar diploma dan ijazah sarjana muda menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT) berfokuskan kepada sekuriti.

Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar MIU yang berminat menguasasi kemahiran IT berasaskan sekuriti melalui latihan intensif berterusan secara percuma. Pelajar yang menamatkan latihan akan dianugerahkan sijil kemahiran IT Sekuriti.

Pengurus CompTIA bagi rantau ini, Hairil Izwan Isamuddin berkata, pihaknya sudah menjalin kerjasama dengan lebih 50 rakan kongsi akademik di Malaysia termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Antara institusi yang menggunakan perkhidmatan CompTIA di Malaysia termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik, Sunway University dan Asia Pacific University (APU) manakala di peringkat antarabangsa CompTIA mempunyai kira-kira 3,000 rakan akademik.

“Sejak 2010 sehingga 2018 kita dapati permintaan bagi kursus ini semakin meningkat dan program ini dikemaskini bagi setiap tempoh tiga tahun bagi memastikan ia menepati keperluan industri.

“Jadi pihak akademik menggunakan kandungan akademik program ini dan memastikan pelajar memperolehi persijilan,” katanya selepas majlis penyerahan surat perakuan oleh pihak CompTIA kepada MIU, di sini hari ini.

Hairil Izwan menyampaikan watikah perakuan itu kepada Naib Canselor Manipal International University (MIU), Professor Dr Patrick Kee Peng Kong.

Hairil berkata, kursus jangka pendek yang ditawarkan menokok nilai tambah kepada pelajar dan sekali gus menyediakan mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan yang kian mencabar di bidang IT.

Hairil Izwan Isamuddin, Pengurus Serantau CompTIA

“Kursus berasaskan latihan korporat dijadualkan berlangsung antara lima hingga lapan hari. Kandungan kursus boleh diubahsuai dan dimasukkan ke dalam kurikulum pengajian selama satu semester. Pelajar perlu menjalani peperiksaan sebelum dianugerahkan sijil IT berasaskan sekuriti,” katanya.

Sementara itu, Dr. Kee di dalam ucapannya menzahirkan rasa gembira kerana CompTIA memilih MIU sebagai rakan akademik bagi memperkasa konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menurutnya, pelajar seharusnya memanfaatkan peluang berkenaan memandangkan ia ditawarkan secara percuma dan dikendalikan oleh pakar di dalam bidang IT.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang sentiasa menggalakkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta bergerak selaras dengan keperluan Industri 4.0.

Dr. Kee menegaskan institusi pengajian tinggi swasta seperti MIU harus bergerak memenuhi keperluan kerjaya masa depan dan menggalakkan budaya keusahawanan dengan melibatkan diri secara aktif di dalam program latihan. – MalaysiaGazette

Penulis, Mohd. Shah Abdullah adalah Ketua Jabatan Komunikasi/Pensyarah Kanan Manipal International University (MIU), Nilai.